February 27, 2011

Peranan Mahasiswa dan Budaya Intelektualisme.

Saban tahun, tika melewati laporan akhbar, kita pasti dilambakkan dengan lonjakan lonjakan angka mahasiswa yang dikeluarkan ataupun berjaya memasuki keseluruhan universiti, awam mahupun persendirian yang terdapat dalam negara kita. Diperlihatkan kepada kita, dasarnya ini sesuatu yang bagus, hinggalah kita dengan kadar segera kembali perlu untuk memperhalusi peranan mahasiswa serta fungsi budaya intelektualisme di dalam universiti, yang secara langsung atau tidak langsung, perlu untuk kembali menguatkan budaya intelektualisme di negara ini.

Menelusuri kembali budaya intelektualisme di negara ini, memberi ruang kepada kita, mahasiswa untuk memahami peranan dalam mencatur langkah, mencanting corak kepada perlunya satu kesedaran intelektualisme untuk segera sampai ke destinasinya, iaitu masyarakat kita sendiri dalam memenuhi ruang vakum antara mahasiswa dan masyarakat secara keseluruhannya dalam menggabungkan ilmu serta teori kepada panduan untuk melakukan implementasi langkah langkah bermanfaat kepada pembangunan masyraakt keseluruhannya .

Meminjam dari madah kata sasterawan agung negara kita, Usman Awang, dalam ucapannya yang bertajuk “Peranan Intelektual” kepada pelajar pelajar Malaya dan Singapura di Malaysian Hall, anjuran London Union of Malaysian Student tanggal 25 Mei 1970, seakan begitu relevan dalam mendefinisikan intelektualisme khususnya pada hari ini dari sudut kacamata seorang sasterawan agung negara iaitu,

  1. Pertama, orang yang punya ilmu pengetahuan dan otak (fikiran) yang sentiasa memperkembangkan ilmu pengetahuannya sesuai dengan perkembangan ilmu yang dari zaman ke zaman semakin bertambah kaya. Jadi ilmunya itu tidak basi dan beku;
  2. Kedua, orang yang sentiasa berfikir (pemikir) dan menyumbangkan dan mengembangkan ideanya;
  3. Ketiga, orang yang mempergunakan ilmu dan ketajaman fikirannya untuk mengkaji,menganalisa, merumuskan segala fikiran dalam kehiduan manusia, terutama masyaraktnya dan alamnya untuk mencari kebenaran dan menegakkan kebenaran itu;
  4. Dan akhir sekali, orang yang mengenal kebenaran dan berani memperjuang kebenaran, orang yang mengenal kebebasan dan berani memperjuangkan kebebasan, meski bagaimanapun tekanan dan ancaman yang dihadapinya, terutama sekali kebenaran, kemajuan dan kebebasan untuk rakyat.

Mendalami keseluruhan asas yang didefinisikan oleh sasterwan Usman Awang ini, jika diperlaku serta diangkat menjadi implementasi disiplin di dalam universiti, pasti akan memberi makna baru dalam merencana kembali hubungan mahasiswa dengan masyarakat, sekaligus mendekatkan diri mahasiswa dengan sifat alamiah sesebuah masyarakat (contohnya, penindasan ekonomi serta kemiskinan yang dialami oleh masyarakat setinggan kota di Malaysia) dan bukan lagi hanya terhad sekadar kepada rujukan di dalam tesis, sebaliknya cuba untuk memahami serta melihat kesinambungan ilmu teori serta praktik dalam memahami fungsi mahasiswa mencorakkan alir masyarakat.

Penulis memperakui, peranan budaya intelektualisme mahasiswa amat perlu dalam merencana teori serta idea baru, bagi mengdobrak segala dogma serta korupsi idea di dalam implementasi apa apa polisi yang berkaitan dengan masyarakat secara khususnya, yang seakan sudahpun membina sawang di dalam kehidupan sehari harian mahasiswa kini yang tidak berasa bahawa mereka ini bukan lagi sebahagian dari masyarakat, walhal, mereka juga begitu terkesan dengan segala polisi serta langkah yang dijalankan dari segi ekonomi , contohnya ( kenaikan harga petrol mengakibatkan berlaku ‘chain of reactions’ pada harga barangan makanan harian).

Untuk menyemai kembali budaya intelektualisme mahasiswa, kuncinya terletak pada kemampuan menghadam ilmu oleh mahasiswa untuk mencabar ilmu, kerana bagi penulis, fungsi utama ilmu ialah untuk dicabar, bagi mengelakkan berlaku kebekuan atau “stagnantion” khususnya dalam menjalin hubungan terus antara ilmu dan praktik, kepada sasaran implementasi, iaitu masyarakat. Dan yang pasti, pemahaman untuk memahami serta menghadam ilmu, tidak lagi terhad hanya pada dewan syarahan, mendengar hanya akan idea lama yang dilontar yang kadang berlaku satu arah, sebaliknya pergi kepada punca ilmu iaitu, masyarakat itu sendiri dengan memenuhi masa muda dengan majlis ilmu yang terdapat dalam pelbagai bentuk medium.

Ini adalah kerana, punca ilmu, adalah berasaskan kepada kemampuan manusia dalam merungkai permasalahan, dan di dalam permasalahan, tersirat satu hikmah yang besar bagi mereka yang berani mencari kebenaran. Kebenaran yang cuba disampaikan penulis ialah kesedaran yang perlu kita capai melalui pemahaman terhadap fungsi ilmu itu sendiri dalam merencana kebudayaaan intelektualisme tiada mengira jurusan apa yang diambil anda, contohnya,jika kamu seorang belajar senibina, binalah yang bermanfaat untuk masyarakat dan bukan memenuhi ego penguasa, dan jika kamu seorang belajar fotografi, tangkaplah gambar memberi erti benar masyarakat, dan begitulah seterusnya untuk semua disiplin ilmu.

Tuntutan untuk kita semua, menilai kembali kebenaran kita, dalam mencari makna menjadi mahasiswa dalam mengembalikan semula budaya intelektualisme yang tidak lagi hanya terhad kepada ruang skop universiti dan segulung ijazah, sebaliknya terletak kepada kemampuan kita, ya, kita semua yang bergelar mahasiswa , dalam meletakkan ilmu pada prinsip serta pendirian yang dipacu oleh idea idea segar berpaksikan kepada ketetapan fungsi ilmu, bagi menetapkan diri mahasiswa masing masing di pihak mana yang mereka sanggup untuk berjuang, di tempat yang ditindas atau menindas, dalam perjalanan mencari ilmu mengembalikan budaya ilmu yang semakin terhakis dek kerana hanya sekadar belajar untuk segulung ijazah, dan bukan untuk ketetapan prinsip humanis yang dituntut jiwa akhirnya pada masyrakat.

Sungguh, mendapat segulung ijazah itu sesuatu yang penting, tetapi bagi penulis, pada kesempatan yang ada bergelar mahasiswa, budaya intelektualisme itu sesuatu yang perlu dipegang oleh kita, bagi mengelakkan terasingnya mahasiswa dari lipatan masyarakat yang amat memerlukan kita dalam merencana serta membawa ombak ilmu menghempas pantai dogma yang sudah sekian lama menjadi barah kepada mandulnya fikrah fikiran dalam menjalin kembali kemas tautan masyarakat dan mahasiswa. Kerana di dalam usaha ini, tiada jalan tengah selain berpihak kepada masyarakat dan akarnya pada budaya intelektualisme, iaitu partisipasi di dalam pelbagai cara yang ada.

Gersangnya idea fikiran mahasiswa pada hari ini, bakal mencorak kepada satu kecelakaan kepada negara ini, menjadikan idea dan teori yang didamba masyarakat pupus, hanya kerana tiada ketetapan serta prinsip yang benar benar kukuh dalam kehidupan mahasiswa kerana yakinlah, mahasiswa, orang yang belajar, di mana mana bisa mempelopori perjuangan, dan yang terbaik ialah dengan bersama masyarakat membina budaya ilmu yang perlu lahir pada cetusan pergolakan rakyat tertindas, yang kecil atau besar, dengan titik fokus semata mata hanya berpandu pada kebaikan masyarakat sejagat, tanpa perlu meninggalkan prinsip ilmu di dalam diri kita hanya kerana patuh tiada berlawan fakta dan hujah ilmu.

Tuntas bertulis, budaya intelektualisme ini sesuatu yang pasti, tapi dalam corak yang bagaimana dan apa yang akan dipelopor mahasiswa ini, yang akhirnya akan membentuk budi pada pertiwi, dengan akurnya kita semua, mahasiswa pada ketentuan alunan masyarakat yang terbentuk hasil budaya yang akan kita terajui, tanpa mengira cara apa sekalipun, dan pasti pertentangan-pertentangan itu pasti akan berlaku, di antara tahyul dogma dan idea progresif, yang akhirnya pemegang kata dan laku dalam menempuh ranjau dan duri perjuanagan bersama masyrakat dan mahasiswa ialah kita sendiri.Iaitu mahasiswa.



* Artikel ini turut tersiar di Tabloid Mim.

2 comments:

  1. Posting yg membina minda, tahniah! :: Mengaji daripada alif, membilang daripada esa; sakit bermula, mati bersebab, hujan berpokok, kata berpangkal::

    ReplyDelete
  2. terima kasih cikgu.
    sekadar melempar sedikit kritikan sosial pada mahasiswa, sejujurnya mahasiswa di Malaysia ini mengalami kebekuan, bagi saya, kerana mahasiswa itu sendiri tidak merasa bahwa mereka sebahagian dari struktur masyarakat, hasil akibat tiada autonomi, untuk berbuat apapun, walhal, inilah masanya untuk mahasiswa berbuat silap.
    terima kasih cikgu.

    ReplyDelete