February 27, 2011

Peranan Mahasiswa dan Budaya Intelektualisme.

Saban tahun, tika melewati laporan akhbar, kita pasti dilambakkan dengan lonjakan lonjakan angka mahasiswa yang dikeluarkan ataupun berjaya memasuki keseluruhan universiti, awam mahupun persendirian yang terdapat dalam negara kita. Diperlihatkan kepada kita, dasarnya ini sesuatu yang bagus, hinggalah kita dengan kadar segera kembali perlu untuk memperhalusi peranan mahasiswa serta fungsi budaya intelektualisme di dalam universiti, yang secara langsung atau tidak langsung, perlu untuk kembali menguatkan budaya intelektualisme di negara ini.

Menelusuri kembali budaya intelektualisme di negara ini, memberi ruang kepada kita, mahasiswa untuk memahami peranan dalam mencatur langkah, mencanting corak kepada perlunya satu kesedaran intelektualisme untuk segera sampai ke destinasinya, iaitu masyarakat kita sendiri dalam memenuhi ruang vakum antara mahasiswa dan masyarakat secara keseluruhannya dalam menggabungkan ilmu serta teori kepada panduan untuk melakukan implementasi langkah langkah bermanfaat kepada pembangunan masyraakt keseluruhannya .

Meminjam dari madah kata sasterawan agung negara kita, Usman Awang, dalam ucapannya yang bertajuk “Peranan Intelektual” kepada pelajar pelajar Malaya dan Singapura di Malaysian Hall, anjuran London Union of Malaysian Student tanggal 25 Mei 1970, seakan begitu relevan dalam mendefinisikan intelektualisme khususnya pada hari ini dari sudut kacamata seorang sasterawan agung negara iaitu,

  1. Pertama, orang yang punya ilmu pengetahuan dan otak (fikiran) yang sentiasa memperkembangkan ilmu pengetahuannya sesuai dengan perkembangan ilmu yang dari zaman ke zaman semakin bertambah kaya. Jadi ilmunya itu tidak basi dan beku;
  2. Kedua, orang yang sentiasa berfikir (pemikir) dan menyumbangkan dan mengembangkan ideanya;
  3. Ketiga, orang yang mempergunakan ilmu dan ketajaman fikirannya untuk mengkaji,menganalisa, merumuskan segala fikiran dalam kehiduan manusia, terutama masyaraktnya dan alamnya untuk mencari kebenaran dan menegakkan kebenaran itu;
  4. Dan akhir sekali, orang yang mengenal kebenaran dan berani memperjuang kebenaran, orang yang mengenal kebebasan dan berani memperjuangkan kebebasan, meski bagaimanapun tekanan dan ancaman yang dihadapinya, terutama sekali kebenaran, kemajuan dan kebebasan untuk rakyat.

Mendalami keseluruhan asas yang didefinisikan oleh sasterwan Usman Awang ini, jika diperlaku serta diangkat menjadi implementasi disiplin di dalam universiti, pasti akan memberi makna baru dalam merencana kembali hubungan mahasiswa dengan masyarakat, sekaligus mendekatkan diri mahasiswa dengan sifat alamiah sesebuah masyarakat (contohnya, penindasan ekonomi serta kemiskinan yang dialami oleh masyarakat setinggan kota di Malaysia) dan bukan lagi hanya terhad sekadar kepada rujukan di dalam tesis, sebaliknya cuba untuk memahami serta melihat kesinambungan ilmu teori serta praktik dalam memahami fungsi mahasiswa mencorakkan alir masyarakat.

Penulis memperakui, peranan budaya intelektualisme mahasiswa amat perlu dalam merencana teori serta idea baru, bagi mengdobrak segala dogma serta korupsi idea di dalam implementasi apa apa polisi yang berkaitan dengan masyarakat secara khususnya, yang seakan sudahpun membina sawang di dalam kehidupan sehari harian mahasiswa kini yang tidak berasa bahawa mereka ini bukan lagi sebahagian dari masyarakat, walhal, mereka juga begitu terkesan dengan segala polisi serta langkah yang dijalankan dari segi ekonomi , contohnya ( kenaikan harga petrol mengakibatkan berlaku ‘chain of reactions’ pada harga barangan makanan harian).

Untuk menyemai kembali budaya intelektualisme mahasiswa, kuncinya terletak pada kemampuan menghadam ilmu oleh mahasiswa untuk mencabar ilmu, kerana bagi penulis, fungsi utama ilmu ialah untuk dicabar, bagi mengelakkan berlaku kebekuan atau “stagnantion” khususnya dalam menjalin hubungan terus antara ilmu dan praktik, kepada sasaran implementasi, iaitu masyarakat. Dan yang pasti, pemahaman untuk memahami serta menghadam ilmu, tidak lagi terhad hanya pada dewan syarahan, mendengar hanya akan idea lama yang dilontar yang kadang berlaku satu arah, sebaliknya pergi kepada punca ilmu iaitu, masyarakat itu sendiri dengan memenuhi masa muda dengan majlis ilmu yang terdapat dalam pelbagai bentuk medium.

Ini adalah kerana, punca ilmu, adalah berasaskan kepada kemampuan manusia dalam merungkai permasalahan, dan di dalam permasalahan, tersirat satu hikmah yang besar bagi mereka yang berani mencari kebenaran. Kebenaran yang cuba disampaikan penulis ialah kesedaran yang perlu kita capai melalui pemahaman terhadap fungsi ilmu itu sendiri dalam merencana kebudayaaan intelektualisme tiada mengira jurusan apa yang diambil anda, contohnya,jika kamu seorang belajar senibina, binalah yang bermanfaat untuk masyarakat dan bukan memenuhi ego penguasa, dan jika kamu seorang belajar fotografi, tangkaplah gambar memberi erti benar masyarakat, dan begitulah seterusnya untuk semua disiplin ilmu.

Tuntutan untuk kita semua, menilai kembali kebenaran kita, dalam mencari makna menjadi mahasiswa dalam mengembalikan semula budaya intelektualisme yang tidak lagi hanya terhad kepada ruang skop universiti dan segulung ijazah, sebaliknya terletak kepada kemampuan kita, ya, kita semua yang bergelar mahasiswa , dalam meletakkan ilmu pada prinsip serta pendirian yang dipacu oleh idea idea segar berpaksikan kepada ketetapan fungsi ilmu, bagi menetapkan diri mahasiswa masing masing di pihak mana yang mereka sanggup untuk berjuang, di tempat yang ditindas atau menindas, dalam perjalanan mencari ilmu mengembalikan budaya ilmu yang semakin terhakis dek kerana hanya sekadar belajar untuk segulung ijazah, dan bukan untuk ketetapan prinsip humanis yang dituntut jiwa akhirnya pada masyrakat.

Sungguh, mendapat segulung ijazah itu sesuatu yang penting, tetapi bagi penulis, pada kesempatan yang ada bergelar mahasiswa, budaya intelektualisme itu sesuatu yang perlu dipegang oleh kita, bagi mengelakkan terasingnya mahasiswa dari lipatan masyarakat yang amat memerlukan kita dalam merencana serta membawa ombak ilmu menghempas pantai dogma yang sudah sekian lama menjadi barah kepada mandulnya fikrah fikiran dalam menjalin kembali kemas tautan masyarakat dan mahasiswa. Kerana di dalam usaha ini, tiada jalan tengah selain berpihak kepada masyarakat dan akarnya pada budaya intelektualisme, iaitu partisipasi di dalam pelbagai cara yang ada.

Gersangnya idea fikiran mahasiswa pada hari ini, bakal mencorak kepada satu kecelakaan kepada negara ini, menjadikan idea dan teori yang didamba masyarakat pupus, hanya kerana tiada ketetapan serta prinsip yang benar benar kukuh dalam kehidupan mahasiswa kerana yakinlah, mahasiswa, orang yang belajar, di mana mana bisa mempelopori perjuangan, dan yang terbaik ialah dengan bersama masyarakat membina budaya ilmu yang perlu lahir pada cetusan pergolakan rakyat tertindas, yang kecil atau besar, dengan titik fokus semata mata hanya berpandu pada kebaikan masyarakat sejagat, tanpa perlu meninggalkan prinsip ilmu di dalam diri kita hanya kerana patuh tiada berlawan fakta dan hujah ilmu.

Tuntas bertulis, budaya intelektualisme ini sesuatu yang pasti, tapi dalam corak yang bagaimana dan apa yang akan dipelopor mahasiswa ini, yang akhirnya akan membentuk budi pada pertiwi, dengan akurnya kita semua, mahasiswa pada ketentuan alunan masyarakat yang terbentuk hasil budaya yang akan kita terajui, tanpa mengira cara apa sekalipun, dan pasti pertentangan-pertentangan itu pasti akan berlaku, di antara tahyul dogma dan idea progresif, yang akhirnya pemegang kata dan laku dalam menempuh ranjau dan duri perjuanagan bersama masyrakat dan mahasiswa ialah kita sendiri.Iaitu mahasiswa.



* Artikel ini turut tersiar di Tabloid Mim.

February 22, 2011

Untuk Bertanya Dan Bersoal.

Baca ini.

terbuka rehlah,
tersingkap hina,

sepoi angin menyampai pesan,
dari tuhannya pada hambanya,
asal kuasa membawa berkat,
jangan dibiar berakhir bangsat,

peluru peluru tumpul menderu lagi,
lunyai badan menembus jasad dunia,
sengsara neraka dunia kesampaian jua,
di tubuh tegap sang merdeka jiwa,

maka mengalun bicara sang kuasawan,
corong corong segala konon kebenaran,

bertanya,
kuasawan bangga bicara syahid,
bersoal,
tapi pada cara yang bagaimana?

bertanya,
kuasawan bangga bicara pengorbanan,
bersoal,
tapi pada cara yang bagaimana?

bertanya,
kuasawan bangga bicara agung,
bersoal,
tapi pada cara yang bagaimana?

bertanya,
kuasawan bangga bicara bersatu,
bersoal,
tapi pada cara yang bagaimana?

bertanya,
kuasawan bangga bicara setia,
bersoal,
tapi pada cara yang bagaimana?


hinggalah aku terdengar,

sahutan dari tiada yang bertanya,
sahutan dari tiada yang berkisah,
sahutan dari tiada yang merela,
sahutan dari tiada yang angguk,

mahu kami setia berpada pada,
bukan sengaja mengada ngada,
mengapa perlu melaga laga,
jangan sengaja dilupa lupa,

terbuka rehlah,
tersingkap hina,

juzuk turutan masa,
empat dekad merela,
perlembagaan binasa,
rakyat merana paksa,

dan melaung pula suara kami,
tiada bersahut kecuali desiran,
akalnya akan tersampai maksud,
rupanya sekadar menyeksa diri,

dan mengapa perlu kami,
yang tiada lagi apa apa,
akur menghujani kejam,
hanya bertekad satu niat,

memutus rantai penindasan,
membebas segala budi bakti!











February 16, 2011

Al Fatehah untuk mu,Memali.

Aku memerlukan pencerahan dalam hal ini.
Berkaitan artikel ini, pada poin 36.
Di mana justifikasi amat dikepingin.

Ini berkaitan tentang maruah sebuah keluarga.
Ini berkaitan tentang darah yang tiada tersia.
Ini berkaitan tentang tertib yang tidak terlaku.
Ini berkaitan tentang usai peristiwa tiada akhir.

Mudah untuk kau memijak pekik suara kecil.
Mudah untuk kau menutup nyiru kelakumu.
Mudah untuk kau sembunyi bayang biasmu.
Mudah untuk kau merela darah mengalir sia.

Tapi bagi kami yang cinta ini,
bertaut kiambang tiada melepas akur.

Tapi bagi kami yang rindu ini,
biar pungguk menanti setianya bulan.

Tapi bagi kami yang lara ini,
ombak membadai pasti jua gagahi.

Tapi tiada bersebab untuk kami,
melupa darah membasahi permai!

Al Fatehah untuk mu Memali.

Agar darah ini akhirnya kan kutemu.


*pada saat bibir manusia di malaysia ini tiada lekang bicara celaka di negara orang,kembalilah!
pengembaraan mencari adil ada di mana mana.

February 14, 2011

Celaka Empat Dan Tiga

Baru kini ku mengerti apa bilang si Einstein ini,
bila dia berkata ini,

"I know not with what weapons World War III will be fought, but World War IV will be fought with sticks and stones." -- Albert Einstein


Tika diri baru bertanya, bila terjadi celaka yang ketiga itu,

bukalah mata wahai pendeta buta,

celaka ketiga itu sedang berlangsung sempat,

dari hujung kangkang timur dan barat,

dari hujung kangkang selatan dan utara,

penindasan, kebuluran, kemiskinan,

penolakan,diskriminasi,menanti mati,

itulah celaka yang ketiga itu sedang berlangsung sempat,

yang celaka keempat itu kini,

ya, kini wahai pendeta buta,

jasad yang ranah jiwanya,

jasad yang seksa laranya,

jasad yang azali sendunya,

yang celaka keempat itu kini,

ya, kini wahai pendeta buta,

tika kau rela membawa dusta,

tika kau rela mengangkat durjana,

tika kau rela bermadah bencana,

yang celaka keempat itu kini,

ya, kini wahai pendeta buta,

dan setiap jiwa itu pasti bangkit,

persis Phoenix dari desir debu,

tiada bersia melepas setianya,

mati dan mati hidup semula,

mencorak putar abadi zaman.










February 13, 2011

Video #1

aku malas untuk berbaris atau berpakat.
apa yang dipinta ialah debat polisi yang sihat.
itu saja.dan dengan ini.
harap lebih banyak debat dapat dijalankan.
ia tiada akan mengubah apa apa.
tapi yang pasti, ia mencerah polisi.

February 10, 2011

Memahami Percubaan bagi Alternatif Kepartaian Serta Persoalannya.

Mengikut kepada kata kata di sini, sistem politik kepartaian ini seakan diberi penolakan yang serius dalam gerakan gerakan politik yang baru, sehingga perlu diberi ruang pada percambahan idea, dalam menjana idealisme yang memberi autoriti pada rakyat, sebagai medium percubaan praktik idealisme ini.

Yang jelasnya, berlaku penolakan pada satu sistem kebergantungan pada partai politik,yang sentiasa bersikap divisif serta partial terikat pada dogma yang tiada fleksibiliti dari segi nature, sehingga menyukarkan matlamat sebenar rakyat untuk tercapai, hasil dari konsensus beberapa orang, yang kononnya dilantik rakyat (baca: mereka yang mengundi)

Idea berkaitan penolakan terhadap sistem kepartaian ini mengundang skeptikal bagi mereka yang pada asasnya, mencuba untuk memahami demokrasi, di mana pemahaman akan erti demokrasi yang bersifat dasar pasti akan merumus hanya pada demokrasi politik kepartaian.

Ujar dari pihak Ikhwanul Muslimin*, perlulah dicerna sebaik mungkin bagi membolehkan kita mendapat tenaga fikrah yang baru dalam merencana akan pemahaman demokrasi sebenar, yang melibatkan partisipasi maksimum massa, melalui pendidikan politik (baca: hubungan masyarakat) yang saling mencorak akan hubungan sosioekonomi.

Secara ringkas, struktur alternatif bagi penglibatan politik kepartaian perlulah dilihat dalam bentuk Badan Bukan Kerajaan (BBK), di mana secara langsung, BBK ini mengfokuskan kepada aksi serta polisi yang secara terus memberi kesan, berlainan melalui sistem politik demokrasi berbentuk kepartaian, yang hanya mengfokuskan strategi untuk memenangi pilihanraya, dan seterusnya berkhidmat.

Antara cabaran yang dihadapi BBK ini, tidak lain tidak buka ialah dari refleksi partai, yang bisa mencorak akan dasar(baca: mengagung atau menindas), atas nama kuasa yang diberi rakyat. Peliknya, corakan dasar ini turut membentuk persetujuan dan seterusnya memberi legitimasi pada partai samaada untuk menindas mahupun mengagung tuntutan rakyat.

Secara alamiah, BBK ini yang bersifat aksi terus, tanpa mengfokuskan pada perjalanan merebut kuasa melalui pilihanraya, akan memberi kesan yang lebih efektif dalam menangani permasalahan rakyat. Pemahaman ini akan menjadi lebih jelas, melalui penghadaman maklumat berkaitan dengan struktur kebanyakan BBK yang merubah menjadi partai.

Antara nama nama organisasi, fokusnya di Malaysia, yang asalnya dari kelompok BBK, yang melalui proses sehingga menjadi partai poltik, adalah seperti Keadilan, yang asalnya adalah BBK pada pasca 1998, yang merubah menjadi partai politik. Permulaan kepada Keadilan sebagai BBK perlu dilihat dari konteks perjuangan yang didasari dari peringkat awal penubuhannya sehingga kini.

Kritikan berasas pada Keadilan, adalah berdasarkan asas perjuangan yang dibina melalui "notion notion" yang bersifat universalism, merangkumi akan keperluan kedilan sosial sejagat, tiada hanya terhad kepada tambak persempadanan negara, yang seakan lebur tika Keadilan memilih untuk memasuki dunia demokrasi fokus pilihanraya(baca: yang dicanang berat sebelah).

Pemahaman tentang Keadilan untuk memasuki dunia demokrasi fokus pilihanraya ini perlu dikaji dari segi strategik, melihatkan kepada "mood" rakyat yang masih terikat akan dogma. Ini memberi peluang pada BBK untuk segera menelesuri segala peluang yang ada dengan beberapa persoalan yang sentiasa perlu dicari, berdasarkan evolusi pengeluaran serta permintaan massa terhadap budaya politik baru berasakan BBK.

Antara asas soalan yang perlu dibicara lebih lanjut ialah,

1) Pada peringkat mana, aksi BBK ini diberi legitimasi pada aksi yang dijalankan bagi memenuhi tuntutan rakyat?

2) Apakah perkiraan maksimum dan minimum dalam merencana partisipasi politik,sosial serta ekonomi seiring dengan dogma BBK?

3) Bagaimana untuk memenuhi diversiti masyarakat berlainan keperluan (baca: ras, agama, etnik) yang sedia ada setia pada dogma politik kepartaian, dan seterusnya memahami fungsi "hanya" pilihanraya sebagai medium demokrasi?

4) Adakah sesuatu yang asli bagi BBK untuk mengambil prinsip yang akhirnya bersifat autoritarian, sehingga akhirnya berlaku kediktatoran dalam pendapat, menjerumus kepada "takungan" aksi?

5) Pembentukan massa dari segi apa yang akan diberi penekanan dalam konteks BBK, umumnya bersifat material menjadi motivasi dalam sistem kapitalisme kini, jadi apakah galang ganti kepada motivasi penggerak BBK ini?

6) Adakah peralihan fokus dari aksi terus ini akan berubah dan akhirnya mengangkat semula politik kepartaian sebagai wadah menerus agenda, konklusinya berlaku perebutan kuasa yang nyata?

Di atas diberi senarai beberapa penekanan yang secara serius perlu dihadapi dalam merubah pemahaman massa tentang erti kata demokrasi sebenar dalam konteks moden, yang tidak akan bersifat rigid pada retorik, sebaliknya tegar pada keterlibatan aksi pada setiap lapisan masyarakat.

*Ikhwanul Muslimin juga bersifat seperti BBK yang memberi fokus kepada aksi terus (pendidikan, kesihatan) sebelum menyertai demokrasi kepartaian pada pasca 1980'an.
**Ini bukanlah sesuatu idea yang baru, sebaliknya merupakan percubaan untuk mengembalikan fungsi partisipasi oleh masyarakat sivil.



Rintih Orang Miskin

hoi,orang miskin ini tiada berbangsa,

hoi,orang miskin ini tiada bernegara,

hoi,orang miskin ini tiada bersempadan,

hoi,orang miskin ini tiada yang kepingin,

hoi,orang miskin ini tiada yang berpunya,


benar jika kami semua miskin,

cerakinkan kami lagi semua pada perkauman benci membenci,

agar kami tidak lagi bersatu pada satu yang asal tujuan,

benar jika kami semua miskin,

cerakinkan kami lagi semua pada perbatasan sempadan negara,

agar kami hanya sekadar menjadi nombor rujukan tesis,

benar jika kami semua miskin,

cerakinkan kami lagi semua pada kepercayaan yang dianuti,

agar kami semua hanya sekadar menganut dalam penyeksaan hakiki,

benar jika kami semua miskin,

cerakinkan kami lagi pada perlambangan yang kau junjung,

agar kami semua hanya patuh tidak bertentang aturan perlembagaan,

benar jika kami semua miskin,

cerakinkan kami lagi pada jiwa yang tidak tenang mengenal erti,

agar kami semua tidak menghirau pada utuh solidariti bersama,


tapi ingat yang miskin ini kekal membanting yang berat aturan nesta,

tapi ingat yang miskin ini masih ada bilangan nyata melangkung kuasa,

tapi ingat yang miskin ini masih mampu bicara peniup celaka sangkakala,

tapi ingat yang miskin peranannya pada sejarah adi perjuangan bangsa,

tapi ingat yang miskin ini masih bisa mengular bagai tiada apa apa yang usai,

tapi ingat yang miskin masih tiada tanah warisan jika terputus nafas selama,

tapi ingat yang miskin hilangnya tidak kekal pada mahsul harta sementara,

tapi ingat yang miskin jika kami sekali bangkit menggulung ombak kuasawan,

awas berkekalan akhirannya !

February 4, 2011

Memahami Perubahan,Konteks Zizek.

..."what happen in Tunisia,what happen now in Egypt is precisely the universal revolution for dignity,human right, and economic justice. This is universalism at work.".....

Kata pakcik Slavoj Zizek, di sini.

Tiada apa yang baru diperkata oleh pakcik yang daku bersegan ini, hanya sekadar membicara melalui apa keberanian untuk bangkit itu datang, dan ku jumpa keberanian itu, iaitu keberanian untuk liberasasi yang serius. Untuk kebaikan yang lebih cerah dari masa lampau penyeksaan.

Dan blog ini secara konsisten memperhidang wacana yang terbaik untuk dilancap pikirannya untuk segera sedar, bahawa, di dunia ini, warna mu, akar mu dan percaya mu, adalah perkara yang saling melengkapi, tanpa perlu ada manipulasi.

Pangkalnya adalah ini, seperti ujar jujur pakcik Slavoj Zizek juga,
....."one of the protester said, 'i am proud to be an egyptian' pakcik zizek berkata juga, 'i am proud for them, they gave us (the west) a lesson"...

Aku terdengar dan terbaca pojok buah fikiran seorang tua yang bisa berkata besar pada zaman 22 tahun autoritinya, yang berkata 'perubahan itu kadang bukan sesuatu yang baik'. Sungguh.

Kerna itu aku dan engkau perlu mempunyai daya fikrah yang mampu memacu serta menjalin kemas tenunan fikiran ilham, bagi membawa universalism ke satu tahap yang baru.
Di mana luka dialami umat di mana mana,biar terasa alir darahnya itu.

Ini bukan masanya untuk sekadar menuntun sepi kelip kelip sejarah ini pergi.
Ini masanya untuk kau dan aku. Yang akan hidup selamanya melalui legasi kebenaran.

Jika Pernah.

Jika pernah mata kita saling memanah,
kau peringatkanlah ku di mana kita pernah bertemu,

Jika pernah bahu kita bersapa mesra,
kau peringatkanlah ku di mana kita pernah berselisih,

Jika pernah suaramu terngiang ngiang sampai,
kau peringatkanlah ku di mana kita pernah melaung,

Jika pernah kita bersinsing mengacu kepal tangan,
kau peringatkanlah ku di mana kita pernah berontak,

Jika pernah kita merasa kasar kulit diseksa,
kau peringatkanlah ku di mana kita pernah merasa,

Jika pernah kau dan aku merasa semua,
jadilah kita seteru kezaliman!

Tiupkan,Tiupkan Api Kemarahan!

Baca ini.

Bila asasi diperdagang rela,
bila asasi dispekulasi liar,

Siapa yang menuntut untung,
Siapa yang menanggung beban,

Tiupkan,tiupkan api kemarahan,
Biar segera kami merasa,

Bahang ini tiada berpunya,
Lahar ini mendedes suka,

Tiupkan,tiupkan api kemarahan,
Biar segera kami tersedar,

Bahang ini tidak tertahan,
Hamburkan saja pada kuasa,

Tiupkan,tiupkan api kemarahan,
Biar segera kami bersama,

Bahang ini membakar diri,
Biar alang menjadi arang,

Tiupkan,tiupkan api kemarahan!



February 1, 2011

Menghadam Erti Perjuangan Besar.

Seantero kecelakaaan dipunggah keluar dari lubuk hati seluruh rakyat berjiwa besar,
yang ternanti nanti di jauhnya kangkang barat dan timur seakan rasa bersama bangkitnya,

tiba tiba seruan tentang ketidakadilan jadi mainan kata sang pemimpin dari besar hingga kecil,
janganlah terjadi engkau bertitah palsu mahu mengjulur kata indah buat semua yang marah,

tiba tiba kemiskinan bagai menjadi ratapan batin yang menuntut agar dibela segera,
yang dulunya kau melihat keji hinggalah berlaku gelombang yang tidak disangka bergulung rakus,

tiba tiba yang tidak disangka oleh nombor satu yang masing masing membawa percik,
membakar menjadi obor yang membakar menguatkan cahaya yang tidak akan terpadam,

sampaikanlah pesan mu itu wahai obor obor yang membakar diri merela mencetus sakti,
kita ini bersaudara pada nasib, kita ini bersaudara pada takdir,

sampaikanlah kepul kepul asapmu di udara bebas menjana spekulasi pemikiran agung,
walhal sebelumnya sengsara kau hanya sekadar nombor rujukan tesis buat sang intelektual,

sampaikanlah perciknya anak api kau nun jauh menyemai lembapnya tanah pertiwi tertindas,
biar ia rela mencucuh turun lahar api panas yang tiada tolok bandingnya buat sang penguasa,

dan teringatlah pesan ku pada diri sendiri bahwa tiada yang teragung kecuali bangkit,
dengan di sisi ku adalah anak anak jati seluruh manusia tertindas,

dan teringatlah pesan ku pada diri sendiri bahwa janganlah merasa sedih seketika,
kerna perjuangan di depan matamu lebih berat menghambat kudrat iradat,

dan teringatlah pesan ku pada diri sendiri bahwa janganlah kau sanggup membalik,
kerna yang bermula itu pasti ada akhirannya yang akan kau cantingkan coraknya,

masa masa ini menuntut kau wahai rakan taulan sahabat handai,
bukanlah bersuka rela menurut sang propaganda media mengacu pemikiran mu,

masa masa ini menuntut kau wahai rakan taulan sahabat handai,
bukanlah untuk kau mengangguk jinak merpati tuntutan asasi kecuali mengagung keras akannya,

masa masa ini menuntut kau wahai rakan taulan sahabat handai,
bukanlah sekadar perjuangan mu yang sipi sipi untuk kau lancap sekadar masa sepi,

dan akhirnya bila kau bersedia memahami yang sakit bagi seorang yang tertindas itu,
pada alur hingga akarnya adalah jiwamu sekalian jua!