January 31, 2011

Perspektif Serta Potensi Konflik Pasca Revolusi Mesir.

Peristiwa yang masih berputar ligat di Afrika Utara,khususnya di Mesir,membuka ruang perdebatan yang luas, di mana penguasaan Israel, sebagai sebuah negara tidak berdaulat, akan terjejas atas hadirnya satu ketumbukan politik baru di Mesir kini.

Barangkali, para revolusioner muda Mesir setakat ini masih samar samar akan kemampuan revolusi mereka ini, dari segi pengisian serta praktik yang akan dijalankan serta kemampuan mereka dalam menerobos konflik serta merencana potensi, khususnya dalam konflik Israel-Palestin.

Perjalanan sosio politik yang terumbang ambing di Mesir kini, dengan tiada monopoli dari mana mana pihak, baik dari Islamis mahupun Sekularis(*), di mana kebangkitan utama rakyat adalah hasil dari tekanan politik yang mencengkam dari setiap sudut kehidupan, penggangguran yang sukar serta kemiskinan akan memberi ruang serta makna perspektif yang baru dalam merencana hubungan Israel Palestin itu sendiri.

(*Sokongan dari kedua dua pihak tetap penting dalam memainkan peranan penting dalam pergerakan ini.)

Penguasaan monopoli ini tidak berlaku (tapi hampir pasti berlaku), khususnya oleh kedua dua kelompok ini, bolehlah dicerna sebagai hasil dari kegagalan dari segi praktikaliti ideologi yang 'stagnant' sehingga menyukarkan kepada idealisme kepada saluran aksi, kerana jurang yang terhasil dari massa yang melibatkan ruang dan massa yang 'vakum' antara dua generasi, muda dan tua, sejak dari peristiwa pembunuhan Presiden Anwar Al Sadat pada 1981 sehinggalah pada kenaikan takhta regim Hosni sejurus selepas peristiwa tersebut.

Sejarah yang terdahulu, pernah memberi ruang kepada terjadinya Perang Enam Hari Arab-Israel, serta Perjanjian Damai Mesir-Israel 1979, pasti akan mengalami satu sisi yang berlainan, di mana satu percaturan strategik amat diperlukan bagi melaksana dasar imperialisme negara negara besar,khususnya Amerika, serta Israel, sebagai penggerak buah catur utama, melibatkan kepentingan hasil mahsul ekonomi (minyak dan gas asli) serantau serta menjaga keperluan politi yang melibatkan pelbagai diversiti sistem (feudal,autokratik,'faux' demokrasi), yang kebanyakan bersifat autoritarian serta represif sebagai tunjang penyambung nyawa kepada realiti negara Israel.

Umum mengetahui akan campur tangan imperialisme Amerika ini tidak sekadar terhenti pada luaran, tetapi sehingga urusan dalam kelambu Mesir, dalam memastikan penguasaan regim bagi meneruskan agenda politik,sosial serta ekonomi, dan revolusi yang berlaku kini tidak semena mena ini menimbulkan satu sensasi yang tidak diantisipasi oleh buah catur penggerak utama konflik Asia Barat itu yang sudah berterusan hampir beberapa dekad.

Kupasan kupasan berkaitan potensi dalam menilai semula hubungan Israel Mesir, dengan titik fokus yang diberi pada survival Palestin, perlu diperhalusi dengan menjalin idea 'mutual' kedua dua buah negara,Mesir dan Palestin pasca revolusi ini yang sudah pasti meninggalkan satu ruang manipulasi, yang akan berakhir dengan pendekatan populis (baca: peperangan) yang pasti menyukarkan lagi impian damai dari menjadi realiti.

Sejujurnya, pendekatan melibatkan peperangan bagi penulis, hendaklah wajib dielakkan bagi mengangkat semula nilai kemanusiaan sesuatu revolusi, yang hampir keseluruhannya pernah memakan ribuan nyawa, mencederakan emosi,meninggalkan parut yang kekal dalam peradaban manusia, dengan harapan, revolusi yang diperintis anak muda Mesir ini membawa makna baru dalam revolusi serta potensi konflik yang akan terhasil selepas itu.

Potensi bagi negara Afrika berpopulasi paling tumpat ini, selepas kejayaan revolusi (dimana pengisiannya masih samar), dalam konteks diplomasi Mesir-Israel pasti memberi satu plot suspen yang gugup bagi keseluruhan dunia, dimana sebarang kata putus diplomasi yang akan dicapai, akan mencorakkan satu titik penting.

Titik penting yang dimaksudkan disini ialah pabila keterbukaan diplomasi perintis revolusioner muda Mesir ini,akan diperhalusi, pada peringkat awal lagi,bagi memberi ruang isu sebenar konflik Israel-Palestin dibincangkan dan sejurus dari itu, terus menjadi aksi terus dan tidak terhad hanya pada dogma berkaitan satu lagi Holocaust,yang sudah pasti menimbulkan satu respon reaksionari dari simpatisan penubuhan negara Israel, sehingga membantutkan proses dari menjadi aksi damai.

Potensi konflik ini akan memberi ruang yang merdeka bagi revolusioner Mesir bagi melepaskan diri mereka dari keterikatan idea lama,yang hanya menyentuh pada penubuhan negara semata mata, tanpa mengambil kira faktor keselamatan hasil dari praktik reaksionari sosial yang akan disemai mencambah kepada sifat rasisme yang melampau dalam fabrik sosial masyarakat Israel-Palestin,sehingga melangkaui batas batas kemanusiaan.

Konflik sosial yang sudah lama mencambah, berserta dengan pendekatan populis dogmatik yang sudah lama menjadi kebiasaan, pasti membuka ruang kepada para fundamentalis dalam memerangkap catur para revolusioner muda Mesir, sekaligus menutup kembali peluang pada tamatnya kesengsaraan hasil dari konflik yang berterusan ini.

Oleh itu, potensi bagi menggerakkan konflik ini ke arah satu penyelesaian mapan haruslah dicari di luar konteks kebiasaan, yang tidak berupa semangat kenegaraan, menolak segala punca roh nasionalisme, dan memberi penekanan pada satu idea baru dengan revolusi yang tercetus ini, dapat disertai dengan satu perspektif baru dalam semangat kenegaraan yang sudah lapuk, dimana lebih banyak kecelakaan diundang hasil dari proses damai pembinaan negara yang diusulkan itu.

Yang pasti, berkecuali dalam hal ini bukan merupakan satu pilihan bagi para revolusioner muda Mesir, bahkan satu kemaluan yang pasti menghambat semangat revolusionari asas bangkitnya pergerakan mengguling rejim Mubarak yang dibina atas sedarnya mereka pada keperluan asasi yang merentas segala janji yang tidak dapat diberi oleh sebuah platform khayalan, bernama negara.

Konklusinya, persoalan persoalan berkaitan perspektif berkenaan Israel-Palestin serta hubungannya dengan Mesir, serta potensi konflik selepas itu tidak akan usai dengan hanya menurut acuan lama berpandukan hanya pada kebergantungan parti politik (baca: Fatah dan Hamas), campur tangan luar (baca: dasar imperialisme Amerika) serta penubuhan negara khusus (baca: pemusatan kuasa yang pasti meninggalkan ruang represif buat rakyat).

Sekian.





No comments:

Post a Comment