May 11, 2011

Perkembangan Kebijaksanaan Dan Pacuan Sains Serta Teknologi , Satu Persoalan.


"The saddest aspect of life right now is that science gathers knowledge faster than society gathers wisdom", Isaac Isamov.


Zaman ini, pacuan teknologi hari harian berlaku dengan kencang di seluruh pelusuk dengan laungan globalisasi begitu nyaring kedengaran, sehingga menyukar pada perkumpulan kebijaksanaan ( baca: pentamadunan) itu langka dari berlaku, dalam konteks masyarakat, mahupun individualistik perseorangan seperti diperkata oleh sarjana intelektual, Isaac Asimov yang begitu definitif dalam memberi erti kata sebenar masyarakat kita hari ini secara umum melalui pernyataan di atas.

Kemiskinan meluas, terbukti melalui kekayaan dunia yang bergenang di sekitar kelompok manusia yang sama, mengekal status quo yang bersifat menindas. Dan yang pasti, kemiskinan hari ini bukan sekadar berlaku dari segi material, malahan spiritual dan kebimbangan ini perlu mempunyai asas yang kukuh bagi membolehkan untuk kita menelusuri kebimbangan terhadap persoalan ini.

Mimpi ngeri ini perlu disampaikan kepada warga dunia, bahwa yang sebenarnya kebijaksanaan itu bukan hanya terhad pada sifat luaran, dimana kehebatan sains dan teknologi sesuatu tamadun, melainkan pengisian terhadap luaran itu yang perlu disampaikan dalam proses kita mencari semula identiti umat manusia secara keseluruhannya.

Melihat kepada situasi yang menggila, persis labonan zaman edan oleh pujangga Ronggowarsito, bersilih ganti kecelakaan luas pada manusiawi dari pencabulan hak asasi, perang terhadap negara negara berdaulat, wabak penyakit , kebuluran nutrisi, ketidakadilan sosio ekonomi, seakan tiada terkesan serta membawa erti pada kehidupan hari hari. Di mana silapnya dan adakah mungkin akan muncul solusi pengakhirannya pada zaman kita ini?

Persoalan ini hanya mampu bisa terjawab, jika umum sedia untuk mengambil semula ketetapan kehidupan untuk memahami perbedaan, apa itu sains dan teknologi dan kesannya terhadap perkembangan kebijaksanaan struktur masyarakat, meliputi keseluruhan sfera sosial.

Sungguh, definisi kebijaksanaan itu sesuatu yang subjektif yang meliputi dasar keperluan masyarakat itu sendiri, kerna pada pengamatan penulis, kebijaksanaan itu hasil dari pemerhatian empirikal intensif serta bercambah dengan adanya situasi galakan yang bersifat positif, untuk memenuhi keperluan semasa, atau galakan bersifat negatif, hasil dari kepentingan untuk memenuhi keperluan.

Manakala, perkembangan kebijaksanaan dalam struktur masyarakat itu pula, perlu berlaku dalam keadaan inklusif serta pada satu satu masa, bersifat eksklusif dalam memberi erti kepada perkembangan ilmu, justeru membantu proses perkembangan kebijaksanaan masyarakat seiring dengan perkembangan sains dan teknologi.

Asasnya, sains dan teknologi itu sendiri memberi makna yang jitu terhadap perkembangan kebijaksanaan dalam mengisi konteks, hinggalah berlaku kontradiksi terhadap moraliti sains dan teknologi yang akan secara mikro ataupun makro, menghakis akan perkembangan kebijaksanaan dengan memunculkan akan mehnah mehnah yang bisa mengdobrak akan pertimbangan perkembangan kedua dua entiti, kebijaksanaan serta pacu sains dan teknologi itu.

Antara mehnah yang sudahpun terhasil akibat dari moraliti entiti sains dan teknologi ini ialah, bilamana ia bersifat eksklusif dan hanya dicipta bagi memenuhi keperluan sekelompok, contohnya perkembangan dalam melakukan pemilikan terhadap penciptaan ubat ubatan sehingga menyukarkan kepada pengedaran kepada massa marhaen, walhal awalnya, sains dan teknologi itu, begitu jelas menyumbang kepada kebijaksanaan masyarakat keseluruhannya. Jelas, perkara sebegini begitu signifikan dalam memberi halangan dalam bentuk eksklusiviti pada masyarakat dalam proses percambahan tamadun, kerna pertembungan antara sains dan teknologi yang sepatutnya bersifat inklusif.

Kebijaksanaan masyarakat itu, untuk memahami dengan lebih lanjut, kita perlu memahami konteks kesejagatan yang meliputi keseluruhan sfera sosial, berdasar beberapa liputan seperti keadaan ekonomi, sosial serta politik dalam usaha untuk membahaskan pernyataan berkenaan iaitu bagaimana mungkin "sains dan teknologi itu, dan perkembangan kebijaksanaan" ini bisa bergerak seiring pada zaman edan moden hari ini.


Penulis tiada mempunyai jawapan tetap bagi membasmi struktur zaman edan yang sedia tercabul ini, kecuali dengan menggalakkan kita untuk saling berdiskusi mencari erti sebenar struktur masyarakat serta fungsi dalam perkembangan kebijaksanaan selaras dengan pernyataan oleh Isaac Isamov itu dengan segera melakukan kontradiksi pernyataan.

Kontradiksi pernyataan ini bermaksud dengan segera melakukan perkara yang sebaliknya dengan kenyataan Isaac, dengan meletakkan kembali persoalan terhadap pernyataan tersebut, yang mana muncul dahulu, kemaslahatan pengumpulan kebijaksanaan masyarakat atau pacuan teknologi yang pantas.

Dan penulis berasa jelas serta yakin yang rata rata akan memilih bahwa masyarakat itu yang dahulu perlu mengumpul kebijaksanaan, dan bukan sebaliknya. Ini memungkinkan kita untuk mencari, berdasarkan beberapa persoalan serta hipotesis asas dalam pembentukan struktur masyarakat hari ini seperti berikut :

  1. Pada peringkat pertumbuhan masyarakat moden yang mana memungkinkan berlaku langkau masa atau lohong peristiwa yang menyebabkan pacuan ilmu teknologi melepasi keperluan kebijaksanaan masyarakat?
  2. Adakah proses ini berlaku secara "consequentiality", seiring dengan kepesatan atau kedebaran yang meliputi proses percambahan sains dan teknolgi dan mengenepikan peranan kebijaksanaan?
  3. Adakah berlaku kontradiksi yang tegar antara kebijaksanaan bersama sains dan teknologi dalam menempuhi percambahan zaman?
  4. Bagaimana mungkin, masyarakt moden hari ini, meliputi keseluruhan sturktur masyarakatnya mampu untuk mendepani suasana yang terjadi kini?
  5. Dan apakah cara kita dalam memahami kemampuan struktur kerajaan itu sendiri dalam menyediakan ruang bagi keseimbangan kedua dua entiti?
Di atas merupakan beberapa soalan legitimat untuk dipersoal serta diperdebat, serta skop perbincangan ini haruslah tegas untuk dibincang berkait rapat dengan kemampuan masyarakat berdasarkan keadaan politi semasa, merangkumi akan .

Pernyataan oleh Isaac ini, yang pada pandangan penulis begitu kontradik dengan pernyataan Francis Fukuyama, di mana beliau di dalam bukunya yang bertajuk, The End of History And The Last Man yang begitu tegar mengadvokat akan demokrasi liberal sebagai sistem akhir umat manusia dan tidak akan bercambah lagi merupakan satu pertentangan yang perlu diperhalusi kembali walhal secara terang terangan, skop perbincangan hari ini jua masih belum mampu terjawab antara keseimbangan sains dan teknologi.

Bagaimana mungkin boleh pertelingkahan pertelingkahan itu boleh berakhir selagi asas asas pencapaian tamadun moden masih belum diberi pertimbangan sewajarnya dengan kontradiksi antara entiti yang masih belum terjawab? Sewajarnya, pencarian ini perlu diteroka potensinya, sehingga manusia mencapai asasi, dan dalam konteks penulisan hari ini, bagaimana sains dan teknologi itu mampu untuk mengumpul kebijaksanaan ataupun adakah kini berlaku pertentangan dalam kedua dua entiti kerana kepentingan dalam pengekalan status quo.

Contohnya mudah, hari ini, kita melihat akan siaraya serta liputan internet yang membawa akan isu isu yang seringkali menggugat apa yang penulis gelar, "ancaman terhadap ketamadunan" itu seakan tidak memberi kesan kepada perkembangan yang sepatutnya terjadi. Isu isu seperti perang dan salah guna kuasa besar yang semakin hari begitu ganas dalam mengekalkan status quo dan seterusnya begitu tegar menjadi ancaman terhadap perkembangan kebijaksanaan itu dipandang sepi.

Refleksi persis awal 70-an, di mana kuasa besar Amerika Syarikat terpaksa menghadapi ketentuan daripada rakyatnya yang begitu menolak interferens serta campur tangan Amerika terhadap negara berdaulat Vietnam dalam usaha untuk mematikan pengaruh komunis, sekaligus mengekalkan status quo ideologi yang dipikul Washington harus dilihat contoh yang terbaik dalam konteks keselarian serta keseimbangan sains dan teknologi dengan perkembangan kebijaksanaan yang berkait rapat dengan isu seperti di atas.

Pada waktu itu, kepesatan sains dan tekonolgi dalam perkongsian maklumat dalam menimbulkan kesedaran hanya terhad kepada penggunaan telekomunikasi seperti telefon, dan internet belum digunakan secara meluas dalam telekomunikasi. Kebergantungan terhadap internet kini, sebagai satu medium dalam pengumpulan kebijaksanaan sebenarnya mempunyai potensi yang luas dalam usaha untuk memberi pendidikan politik kepada umat manusia.

Usaha memahami akan artikel ini bisa dibuat dengan menilai semula kemunculan Wikileaks, yang sebenarnya membawa paradigma baru dalam menjelaskan bagaimana sains dan teknologi, khususnya dalam telekomunikasi jelas membuka ruang bagaimana perkembangan kebijaksanaan dalam isu perkongsian maklumat itu boleh membawa unsur unsur akauntabiliti serta ketanggungjawaban bagi sesebuah struktur hegemoni pemerintah dalam menjalankan tugas dengan segala adab serta budi yang dipertanggungjawabkan, dan bagaimana rakyat itu bebas untuk menilai tahap akauntabiliti tersebut dalam membentuk formaliti terhadap isu seiring dengan perkembangan kebijaksanaan masing masing.

Jelas, potensi sains dan teknologi, contohnya, kemunculan internet yang dibebas oleh Presiden Amerika yang ke-40,Ronald Reagen ini yang dilihat sebagai potensi medan percambahan radikal serta bersifat anarkis itu yang sendiri menggusarkan akan status quo di mana asasi manusia dalam mendapatkan maklumat serta hak untuk berbincang akan diperluas sehingga memberi ruang kepada pertentangan yang berterusan untuk terus berlaku dalam mencapai kebijaksanaan yang sepatutnya.

Idea dalam mencari keseimbangan terhadap sains dan teknologi dengan proses kebijaksanaan ini bukan bersifat utopia, kerna ia melibatkan sesuatu yang hadir dalam keseluruhan struktur masyarakat dan bukan bersifat isolasi, malahan begitu dekat berdamping antara satu sama lain dalam memperkuat kedua dua entiti, dan kesan terhadap percambahan idea ini hanya bisa memberi kesan positif dalam usaha membumikan semula kemaslahatan manusia, dilihat sebagai perhubungan simbiotik, yang saling memerlukan antara satu sama lain dalam memastikan kelangsungan tamadun untuk terus berlaku kencang.






1 comment:

  1. Artikel nya menarik, mungkin kontennya hampir sama dengan punya ku, http://bookwormsart.blogspot.com/2011/05/perubahan-menuju-era-kebijaksanaan-ada.html
    mudah-mudahan menambah pengetahuan...

    ReplyDelete