January 31, 2011

Perspektif Serta Potensi Konflik Pasca Revolusi Mesir.

Peristiwa yang masih berputar ligat di Afrika Utara,khususnya di Mesir,membuka ruang perdebatan yang luas, di mana penguasaan Israel, sebagai sebuah negara tidak berdaulat, akan terjejas atas hadirnya satu ketumbukan politik baru di Mesir kini.

Barangkali, para revolusioner muda Mesir setakat ini masih samar samar akan kemampuan revolusi mereka ini, dari segi pengisian serta praktik yang akan dijalankan serta kemampuan mereka dalam menerobos konflik serta merencana potensi, khususnya dalam konflik Israel-Palestin.

Perjalanan sosio politik yang terumbang ambing di Mesir kini, dengan tiada monopoli dari mana mana pihak, baik dari Islamis mahupun Sekularis(*), di mana kebangkitan utama rakyat adalah hasil dari tekanan politik yang mencengkam dari setiap sudut kehidupan, penggangguran yang sukar serta kemiskinan akan memberi ruang serta makna perspektif yang baru dalam merencana hubungan Israel Palestin itu sendiri.

(*Sokongan dari kedua dua pihak tetap penting dalam memainkan peranan penting dalam pergerakan ini.)

Penguasaan monopoli ini tidak berlaku (tapi hampir pasti berlaku), khususnya oleh kedua dua kelompok ini, bolehlah dicerna sebagai hasil dari kegagalan dari segi praktikaliti ideologi yang 'stagnant' sehingga menyukarkan kepada idealisme kepada saluran aksi, kerana jurang yang terhasil dari massa yang melibatkan ruang dan massa yang 'vakum' antara dua generasi, muda dan tua, sejak dari peristiwa pembunuhan Presiden Anwar Al Sadat pada 1981 sehinggalah pada kenaikan takhta regim Hosni sejurus selepas peristiwa tersebut.

Sejarah yang terdahulu, pernah memberi ruang kepada terjadinya Perang Enam Hari Arab-Israel, serta Perjanjian Damai Mesir-Israel 1979, pasti akan mengalami satu sisi yang berlainan, di mana satu percaturan strategik amat diperlukan bagi melaksana dasar imperialisme negara negara besar,khususnya Amerika, serta Israel, sebagai penggerak buah catur utama, melibatkan kepentingan hasil mahsul ekonomi (minyak dan gas asli) serantau serta menjaga keperluan politi yang melibatkan pelbagai diversiti sistem (feudal,autokratik,'faux' demokrasi), yang kebanyakan bersifat autoritarian serta represif sebagai tunjang penyambung nyawa kepada realiti negara Israel.

Umum mengetahui akan campur tangan imperialisme Amerika ini tidak sekadar terhenti pada luaran, tetapi sehingga urusan dalam kelambu Mesir, dalam memastikan penguasaan regim bagi meneruskan agenda politik,sosial serta ekonomi, dan revolusi yang berlaku kini tidak semena mena ini menimbulkan satu sensasi yang tidak diantisipasi oleh buah catur penggerak utama konflik Asia Barat itu yang sudah berterusan hampir beberapa dekad.

Kupasan kupasan berkaitan potensi dalam menilai semula hubungan Israel Mesir, dengan titik fokus yang diberi pada survival Palestin, perlu diperhalusi dengan menjalin idea 'mutual' kedua dua buah negara,Mesir dan Palestin pasca revolusi ini yang sudah pasti meninggalkan satu ruang manipulasi, yang akan berakhir dengan pendekatan populis (baca: peperangan) yang pasti menyukarkan lagi impian damai dari menjadi realiti.

Sejujurnya, pendekatan melibatkan peperangan bagi penulis, hendaklah wajib dielakkan bagi mengangkat semula nilai kemanusiaan sesuatu revolusi, yang hampir keseluruhannya pernah memakan ribuan nyawa, mencederakan emosi,meninggalkan parut yang kekal dalam peradaban manusia, dengan harapan, revolusi yang diperintis anak muda Mesir ini membawa makna baru dalam revolusi serta potensi konflik yang akan terhasil selepas itu.

Potensi bagi negara Afrika berpopulasi paling tumpat ini, selepas kejayaan revolusi (dimana pengisiannya masih samar), dalam konteks diplomasi Mesir-Israel pasti memberi satu plot suspen yang gugup bagi keseluruhan dunia, dimana sebarang kata putus diplomasi yang akan dicapai, akan mencorakkan satu titik penting.

Titik penting yang dimaksudkan disini ialah pabila keterbukaan diplomasi perintis revolusioner muda Mesir ini,akan diperhalusi, pada peringkat awal lagi,bagi memberi ruang isu sebenar konflik Israel-Palestin dibincangkan dan sejurus dari itu, terus menjadi aksi terus dan tidak terhad hanya pada dogma berkaitan satu lagi Holocaust,yang sudah pasti menimbulkan satu respon reaksionari dari simpatisan penubuhan negara Israel, sehingga membantutkan proses dari menjadi aksi damai.

Potensi konflik ini akan memberi ruang yang merdeka bagi revolusioner Mesir bagi melepaskan diri mereka dari keterikatan idea lama,yang hanya menyentuh pada penubuhan negara semata mata, tanpa mengambil kira faktor keselamatan hasil dari praktik reaksionari sosial yang akan disemai mencambah kepada sifat rasisme yang melampau dalam fabrik sosial masyarakat Israel-Palestin,sehingga melangkaui batas batas kemanusiaan.

Konflik sosial yang sudah lama mencambah, berserta dengan pendekatan populis dogmatik yang sudah lama menjadi kebiasaan, pasti membuka ruang kepada para fundamentalis dalam memerangkap catur para revolusioner muda Mesir, sekaligus menutup kembali peluang pada tamatnya kesengsaraan hasil dari konflik yang berterusan ini.

Oleh itu, potensi bagi menggerakkan konflik ini ke arah satu penyelesaian mapan haruslah dicari di luar konteks kebiasaan, yang tidak berupa semangat kenegaraan, menolak segala punca roh nasionalisme, dan memberi penekanan pada satu idea baru dengan revolusi yang tercetus ini, dapat disertai dengan satu perspektif baru dalam semangat kenegaraan yang sudah lapuk, dimana lebih banyak kecelakaan diundang hasil dari proses damai pembinaan negara yang diusulkan itu.

Yang pasti, berkecuali dalam hal ini bukan merupakan satu pilihan bagi para revolusioner muda Mesir, bahkan satu kemaluan yang pasti menghambat semangat revolusionari asas bangkitnya pergerakan mengguling rejim Mubarak yang dibina atas sedarnya mereka pada keperluan asasi yang merentas segala janji yang tidak dapat diberi oleh sebuah platform khayalan, bernama negara.

Konklusinya, persoalan persoalan berkaitan perspektif berkenaan Israel-Palestin serta hubungannya dengan Mesir, serta potensi konflik selepas itu tidak akan usai dengan hanya menurut acuan lama berpandukan hanya pada kebergantungan parti politik (baca: Fatah dan Hamas), campur tangan luar (baca: dasar imperialisme Amerika) serta penubuhan negara khusus (baca: pemusatan kuasa yang pasti meninggalkan ruang represif buat rakyat).

Sekian.





Memegang Janji Si Hina.

Sepanjang usia ini bertitih meningkat menurut aturan yang maha kuasa,
dari sekecil kecil asal jadian,sehingga sebesar besar jadinya,
belum ada hilaian yang hiba rakyatku kepinginkan,
akan matinya pikiran pada mandulnya fikrah sesama,

Titik titik hitam lipatan sejarah ini seakan tidak pernah cukup dan usai,
dari yang warnanya,dari yang percayanya,dari yang akarnya,
memberi erti serik secukupnya bagi yang merana diri,
dan angkuh rela memutar kembali sejarah celakanya,

Pendokong pendokong pada binasa ini rela bertitah tipu,
sepanjang hidupnya tiada maksud marhaen pada jiwa,
melacur janji bagai tiada diri dihisab kelak atasmu,
dari awal permulaan hingga tamatnya akhir bakti sanjung,

Dan yang menyanjung mu ini nasib nasib malang menimpa,
yang sengaja para pendokong bina melalui masa dan ruang,
tanpa sedar mereka dibekukan jiwa oleh kedinginan akali,
tanpa sedar mereka dilebur oleh kepanasan menyeksa diri,

Atas sebab apa wahai para pendokong mengejar talak kuasa,
kau seronok di atas sana menyusun urusan catur sengketa,
agar marhaen laksana galak bergolok gadai menurut kata,
menyimpang jauh dari tabii kemanusiaan azali yang asal,

Hingga kita lupa asalnya kita hamba yang jelek kotor,
datang membersih diri menuntut janji membawa saksama semesta,
rentas segala pastinya kemuliaan kan berputik kembang,
sehingga kita sendiri merela akan kuncupnya jiwa,

Sebagaimana jiwa jiwa besar tuntas selakan helaian zaman,
bersilih ganti mukjizat berlaku kebesaran dikagumi alam,
bagaimana mungkin kau terperosok hina sebelum mula tarungan,
yang ia kininya lincah petah bersilat dengan ilmu segala jadi,

Jangan kau redha menanggung segunung janji seorang hamba hina,
selagi yang berkata benar menjadi seteru bagi orangmu tunduk,
atas nama apa sekalipun wahai manusia bermazhab penyerahan,
yang akhirnya menentu bukannya manusiawan,

Baik yang terkumat kamit kononnya membawa kebenaran,
baik yang tertancak angkuh menjunjung ketuanan lapuk orde lama,
baik si pelahap kuasa atas nama busuk segala dogma ideologi,
baik si tua yang berkerusi empuk menghempap catuan asasi,

Dan benarlah yang pengejaran dalam setiap sejarah besar,
Yang datangnya berbagai rupa penuh kehodohan cita,
akhirnya hanya yang benar menyinar terang benderang,
membuka pekung kegelapan mencetus pengdobrakan zaman,

Dengan panasnya matahari memanas arang hitam prinsip,
membakar segala jadi revolusi kental pada setiap diri,
dan angkuhlah engkau hari ini wahai pertiwi sendiri,
kerna akhirnya segala mimpi kan jadi realiti!




January 29, 2011

Makanan Pikiran 10#

Blog ini konsisten dalam memperjuang isi sisi keadilan yang sama,
merentasi kotak kotak acuan dogma yang sudah lama terbina dalam diri ini,
melangkaui segala penindasan terhadap sesama insan yang bernafas.

Apa yang berlaku kini, di Mesir, di Tunisia, akhirnya akan sampai dalam bentuk penindasan pada rakyatnya,dan pendobrakan terhadap hasil mahsul akan segera dibuat oleh penguasa, atas nama apa sekalipun,dalam mencengkam kemas apa itu makna liberasi.

Bagaimana kita kini, hanya boleh berdiam diri tidak melaung solidariti pada segala kaum majoriti tertindas kita ini, yang tertindas pada sistem ekonomi,sosial dan politik yang sudah lama korup?
Enggankah kita mengambil iktibar tentang kebenaran perjuangan untuk saksama?

Yang pasti, penguasa kini takut akan manusia yang betul betul bebas dalam merencana hidup serta menolak dogma, dan dogma itu hanya lahir jika kita rela, yang di mana kita sepatutnya tidak lagi menjadi rela!

Katakan tidak kepada penindasan, brutaliti, rasisme, seksisme, dan segala bentuk dogma!
Katakan ya pada liberasasi serta emansipasi jiwa masyarakat yang tertindas!
Ini lipatan sejarah yang besar bagi kita untuk dicerna, serta menjadi sebahagian darinya.
Satu ayat, bangkit!


January 28, 2011

Makanan Pikiran 9#

Mari bermain domino di Afrika Utara, sengketa Palestin-Israel akan usai,
merebak merebak sang api menjalar ke tepian saudaranya,
membakar yang sama isinya,rakyat bangkit,
lamunan sudah terjaga,
kita?

January 24, 2011

Makanan Pikiran 8#

Baca ini.

Sesak.Lemas.Saat bila kita memikir waras hal ini.
Di Amerika sana,anak anak sejak usia muda melawan obesiti.
Di merata-rata tempat,anak anak sejak usia muda menagih nutrisi.
Di mana seimbangnya dunia kita kini.

Jika kita hanya mampu melihat dan serahan atas takdir Tuhan menjadi zikir harian.

Tidak pernah upaya mahu melawan ketidakadilan yang datang.
Tidak pernah upaya mahu melawan ketidaksamaan yang hadir.
Tidak pernah upaya mahu melawan kecelakaan yang menimpa.

Jika kita hanya mampu berkata dan serahan atas takdir Tuhan menjadi zikir harian.

Bangkit dan jadilah manusia yang sebenar benar nyata!

Makanan Pikiran 7#

Baca ini.

Mungkin sesetengah dari kita, akan berkata bahawa dalam dunia, pasti akan ada penindasan.

Tapi pernahkah kita terfikir,mengapa perlu ada penindasan, untuk memuas hati sesetengah?

Pernahkah kita terfikir, penindasan itu akarnya dari mana?

Pernahkah kita terfikir, hanya untuk sejenak?




January 23, 2011

Makanan Pikiran 6#

Masih enggan menulis dalam Bahasa Inggeris.
Ketika aku menulis ini, aku masih memikir akan prospek, lahirnya satu takat dalam merencana kewarasan politik, di mana sesuatu isu, yang benar benar berat yang bakal menjadi penghitung segala janji, menjadi tambatan pada yang benar benar mengagung pada isu peristiwa yang sebenar dan sepatutnya.

Hilang waras isunya, bila yang diputar, hanya sekadar bermain di sekitar kononnya, warna kulit kaumku sudah pudar, lusuh diinjak musuh.
Hilang waras isunya, bila yang diputar, hanya sekadar bermain di sekitar kononnya, waris ku tiada lagi boleh berharap, putusnya sillaturrahim kurniaanNya.
Hilang waras isunya, bila yang diputar, hanya sekadar bermain di sekitar kononnya, percaya ku kini bukan hanya padaku dan Khalidku, tapi autoriti yang mahu monopoli.

Ketika aku menulis ini,aku masih tidak merasa yang fikiran ku yang terawal tadi itu sudah berjaya ditafsir cerna, kerana kewarasan, dalam dunia ku kini hanya pada luaran, tiada guna bagi batinmu yang dalam itu, hanya untuk dirimu sahaja. Dan jika nasib mu berbaik, hanya tuhan mu, tempat bicara jujur. Dan yang pasti, nasib mu itu selalu baik.


Makanan Pikiran 5#

Masih tidak larat menulis dalam Bahasa Inggeris.
Kecamuknya dunia ini kini, memberi erti yang sama pada perjuangan yang aku sedang percaya kini, di mana mana pun, manusia ada hanya satu tuju yang nyata, PEMBAIKAN.

Tidak ada anasir anasir yang lebih agung serta lengkap bagi menggambarkan situasi ini.
Dan pembaikan ini datang dengan hanya bila kita memahami fungsi sebenar seorang manusia itu, yang mencorak fungsi seorang manusia dan yang menjalankan fungsi sebagai seorang manusia yang nyata.

Analoginya mudah, akar membanting gagah, batang pokok memperkasa alam.

Jadi di dalam perjuangan kita ini semua, yang kecil atau besar, adakah kita kini sedang menjalani apa yang sepatutnya, ke arah menjadi manusia yang nyata, di mana kesedaran tentang penindasan itu, yang kecil atau besar, menjadi yang utama?

Persetan segala warna, segala warisan, segala percaya.

Yang akhirnya, pokok yang mengjulai tunas ke atas itu, jika tiada akar yang sanggup membanting keras, memenuhi segala pundak keperluan, mengapa perlu kita setia?

January 16, 2011

Makanan Pikiran 4#

Aku sudah tidak larat untuk menaip di dalam bahasa Inggeris.
Belum usai revolusi di Tunisia,ia berjangkit di keseluruhan semenanjung Afrika.
Rakyat bangkit bersama rakan dan taulan membentuk ketumbukan revolusi.
Tapi, bagi diri ku,ia bagai mencetus satu kesempatan untuk segera melihat pada lembaran sejarah lalu yang menjadikan perang perang dunia 1 dan 2 satu kenyataan pahit bagi sejagat.
Pendedahan Wikileaks dalam mempertimbang kembali hubungan diplomasi pada sang penguasa yang mengatur kuasa,bagaikan satu peristiwa, yang bakal menjadi pemangkin pada tercetusnya peperangan,untuk mengekal dominasi patungan kuasa di pelosok dunia.
Fahami situasi di sini,dan fikirkan,adakah berbaloi bagi Assange untuk menjadi pemangkin kepada bakal tercetusnya satu lagi peperangan,atas nama liberasi manusiawi.
Atau adakah kemampuan kita semua dalam menilai aksi masyarakat akan membentuk perlakuan negara(baca:kuasa),yang kian hilang fungsinya untuk mencipta sejarah baru yang bebas dari dominasi,dengan perang menjadi mediumnya?


January 14, 2011

Makanan Pikiran 3#

Aku sudah tidak larat untuk menaip di dalam bahasa inggeris.
Aku mengikuti dengan rapat apa yang berlaku di Tunisia sekarang.
Situasi ini berlaku,bagi aku adalah kerana tiga faktor signifikan yang secara berterusan membelenggu saudara saudaraku di sana.(Dan saudara saudaraku adalah mereka yang tertindas.)
Di mana berlakunya tekanan politik melampau,ketiadaan peluang pekerjaan dan kemiskinan.
Baca di sini.
Perhalusi pada dasarnya, di mana rakyat mereka akhirnya akur pada satu sistem partisipasi,pada satu medium yang melibatkan "selective representative".
Iaitu pilihanraya.
Bagi aku, tiada yang terkesan bagi mengubah satu sistem yang korup ini,hanya melalui pilihanraya sahaja.
Kebangkitan ini lebih manis dengan adanya kesedaran penglibatan total semua peringkat seperti apa yang berlaku kini,muda dan tua, awalnya kebangkitan rakyat Tunisia yang dijalin di atas total praktis reaksionari dan reaktif terhadap rejim Ben Ali.
Ini adalah kerana aku percaya pada "direct action" yang ampuh.
Yang bisa membuat sang pemerintah akur.
Bukan sebarang akur yang dipinta,tapi beriringan dengan keperluan rakyat.
Doakan mereka dengan jaya.
Solidariti ku buat mereka yang berani.

January 10, 2011

Makanan Pikiran 2#

Aku sudah tidak larat ingin menaip di dalam bahasa Inggeris.
Hanya ingin berkongsi dengan kamu semua yang sudi berpikir tanpa dogma.
Cuba baca dan hadam berita di sini.
Adakah perpisahan yang mahu dicapai oleh mereka?
Adakah bernegara memberi erti merdeka?
Adakah tiada sia sia bagi anak anak mereka terbenatang sempadan?
Utara dan Selatan mu,wahai Sudan,beringatlah pada pemimpinmu wahai rakyat,
yang mereka hanya mahukan permata hitam mu itu.
Kedamaian enggak bisa tercapai melalui perpisahan yang sengaja.

January 4, 2011