Tidur enak pada malam hari pertama sampai, tiada gangguan dari bunyi bunyi bingit luar, mahupun dari bilik sebelah (bilik hotel sengaja dipilih tidak bertingkap, beza harga hanya dua dollar dengan yang bertingkap, sebenarnya).
Julai bukan waktu puncak pelancong datang. Jadi, mungkin jalan jalan di sekitar ini sedikit mudah dan tiada rungut, mungkin dari cuacanya sahaja, seorang teman ini sedikit tidak selesa bercuaca panas, ada darah putera lilin, gamaknya.
Hari kedua ini, hari siar paling banyak tempatnya, dari dalaman bandar hingga ke pinggir bandar. Pagi jam sembilan, di lobi hotel, kami disambut mesra pemandu Tuk Tuk, Encik Salleh.
Segera kami bertiga dibawa bersarapan di Restoran Malaysia, letaknya di jalan bersebelahan dengan Sisowath Quay. Jalan di sini disususun grid, jalannya di sini, bagi yang tidak biasa tampak sama dan bisa bagi keliru mata, lagi lagi buat yang pertama kali.Makan pagi dipesan buat diri, sepinggan nasi goreng daging dan popia daging bersulam teh cina percuma.
Usai bersarapan, bergegas kami menaiki Tuk Tuk ke Royal Palace, tempat monarkinya bersemayam, tempatnya gah, tapi keliling, masyarakatnya masih gundah (dalam pikiran, adakah mereka kisah?). Tempat ini betul betul berhadapan Sisowath Quay, tempat bertemu alir tasik Mekong dan Tonle yang mengairi hampir seluruh semenanjung Indo China.
Alir dari Laos, dari Myanmar, dari Thailand dan akhirnya bertemu di Kampuchea (airpun bisa ketemu biar dari lain lain alirnya, tetapi manusia, yang bisa ketemu pun tidak mampu bertegur sapa). Di sini, bisa lihat penduduk sekitar berkongsi sumber manusia, sayang, mungkin dalam beberapa lama, jika langka akan perihal alam sekitar, mungkin alir air tasik (umpama alir darah tubuh manusia), jika tidak diselenggara baik, mungkin kita tidak lagi mmapu lihat manusia bernadi ekonomi berasas tasik ini lagi. Sesuatu harus dilakukan (sebelum cemar menjabi lebar)!
Diperawikan padaku oleh pemandu Tuk Tuk, bahwa jata negara ini adanya dilambang pada tiga haiwan, Gajah, Singa dan aneh sekali,haiwan mitos (atau bukan?) Naga Berkepala Tujuh. Patung patung besar banyak diukir tangan sejak zaman Angkor hinggalah pada zaman moden hari ini, ukirnya berulang pada yang sama, pada perlambangan tiga haiwan. Ada kisah mengenainya, tetapi terlampau panjang untuk dinukilkan disini, mungkin boleh datang ke sini untuk hal itu dan dengar kisah terus dari yang percaya.
Sejurus melakukan perkara yang rasanya semua pelancong lakukan, perjalanan seterusnya untuk pergi ke Wat Phnom, pusat utama Phnom Phen, persis pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak membentuk Kuala Lumpur, begitulah Wat Phnom. Biasanya ada gajah di sekitar untuk dinaiki pelancong tetapi hari ini Gajah cuti. Dan bagi aku, aku sendiri tidak advodkat kepada penyalahgunaan binatang, penyeksaan terhadap binatang, dan apa apa bentuk manipulasi terhadap binatang, jadi syukur aku tidak perlu melarang rakanku yang galak mahu menaiki Gajah hari itu.( Teringat pada babak babak awal novel Animal Farm karya George Orwell, tika para binatang berkumpul soal hubungan manusia dan haiwan)
Ironi di Wat Phnom, ianya satu Wat, tempat sembahyang Buddha di siang hari, pada malamnya,tempat kupu kupu malam mencari rezeki memenuhi jalang liar lelaki, tidak kira, lokal atau orang asing. Mungkin satu fitrah moral hendak ditunjuk Tuhan pada penulis, beda baik dan buruk, beda mehnah dan tohmah, yang akan saling melengkapi, hingga hanya dengan akal dan fitrah kurnia Tuhan sendiri,baru kita mampu mentafsir moraliti.
Kemudian, kami singgah sebentar sebentar di Memorial Kemerdekaan dan Tugu Sayang dari dua negara berkasih, Vietnam dan Kampuchea tika regim Pol Pot membawa badai edan kuasa pada warga Kampuchea sendiri.
Dan catatan ini baru setengah hari.
Bersambung.
No comments:
Post a Comment