Memahami akan politik di mana mana, semuanya bersifat status quo. Kemenangan atau kekalahan mana mana parti di dalam proses pengundian di Sarawak tempohari seakan memperjelaskan lagi kebrobokan politik kepartaian yang pasti tiada memberi apa apa makna selagi dobrak terhadap status quo itu tiada dijalankan.
Status quo, bersifat darah bangsa, percaya anutan, luhur etnik masih lagi tegar mempolarisasi pola idea perkauman, memberi refleksi yang sebenar benar cetek pada perkembangan demokrasi. Mungkin catatan ini berbunyi pesimis. Ya, penulis masih pesimis akan hal ini. Politik di mana mana masih bersifat status quo yang bisa bersifat imperialistik dalam implementasi.
Mengdobrak status quo, berbentuk terjemahan pola mengikut kaum itu seakan tidak akan tercapai selagi garisan pengundian yang berlaku, masih tersekat di bahagian bahagian tertentu kelas masyarakat. Sejujurnya, sfera sosial Malaysia, merangkumi akan politik, sosial serta ekonomi di Malaysia ini masih tegar bergerak di atas pola status quo.
Penulis enggan melihat akan partisipasi pengundian ini hanya terhad melalui kaca mata parti politik, walaupun entiti tersebut merupakan dominan penggerak pada proses demokrasi itu sendiri, sebaliknya hendak melihat pada struktur masyarakat itu sendiri.
Keyakinan penulis bahwa polarisasi berdasar status quo pasti akan bergerak lebih kuat, dengan paluan gendang sentimen status quo akan berkencang lebih padu, sengaja diberi tempat isu isu seperti itu, untuk mengekalkan status parti politik dengan fragmentasi strata masyarakat menjadi tujuan utama pengekalan tunjang kuasa.
Contoh isu, bumiputra Sarawak ini totok Barisan Nasional-nya dan Cina di kawasan bandar pasti kekal dengan Pakatan Rakyat-nya terus menerus dimain oleh kedua belah pihak. (Perkara ini masih boleh didebat serta dibincang mengikut perlakuan idealisme parti politik masing masing yang jika mahu bersifat eksklusif ataupun inklusif.)
Bagi penulis, status quo itu haruslah diberi tanggungjawabnya pada masyarakat itu sendiri, bagi mencorak yang sebenar benar keperluan bersifat inklusif dengan masyarakatnya, dengan campur tangan minimal dari politik kepartaian jika benar mahu terus maju ke hadapan, untuk menghenti polarisasi masyarakat dalam proses pengekalan status quo.
Pengecualian parti politik dalam proses ini, jika diteliti dalam konteks landskap di Malaysia ini pasti sukar, kerana kebergantungan pada politik kepartaian itu begitu menebal sehingga menyukarkan untuk masyarakat sivil untuk melihat status quo yang dicanang oleh parti politik itu hanya sekadar ajenda pengekalan kuasa terhad dalam bentuk demokrasi pilihanraya, walhal ia lebih dari itu.
Persoalan di atas sengaja diberi watak utama bagi memberi kekuatan serta idea kepada masyarakat sivil bahwa demokrasi ini jalurnya banyak, memberi olah pada partisipasi politik sepenuhnya bukan hanya melalui pilihanraya yang berkehendak tadbir melalui mandat lima tahun sekali sahaja. Kemampanan idealisme politik tidak harus dilihat melalui kacamata politik.
Politik itu sendiri yang berdefinisi ilmu kemasyarakatan mengikut Aristotle dalam karyanya "Affairs Of the City", itu perlu melalui proses pematangan yang berterusan, dan sebaiknya ia perlu berlaku di luar konteks kepartian yang bersifat "adversarial" hingga menyukarkan implementasi kolektif yang sebenarnya bersifat alami asasi. Contohnya berkaitan soal isu ketersediaan air bersih yang masih lagi menjadi ajenda mendapatkan undi (yang bermaksud juga pengekalan status quo) walhal ia merupakan sesuatu yang bersifat mendesak bagi melengkap kepada kualiti kehidupan.
Penulis percaya bahawa akar kepada pengekalan status quo ini ialah kepada kebergantungan politik kepartaian. Proses pendelegasian kuasa mentadbir melalui kaedah totok kepartaian perlu segera didobrak, perlu segera digempur dengan idealisme kolektif yang bersifat lokal serta berautonomi dengan masyarakat mereka sendiri, dan dalam masa yang sama memahami akan keperluan sejagat contohnya dalam isu kualiti kehidupan (kesihatan, pelajaran, dan lain lain.)
Autonomi ini perlu dicapai, dengan partisipasi maksimum dari masyarakat setempat dengan sulaman isu isu inklusif serta eksklusif, bersifat lokal mahupun sejagat tanpa entiti kepartaian yang seakan tidak lagi mampan dalam meneruskan proses idealisme yang sebenar benar memberi kuasa terus kepada masyarakat untuk berbuat keputusan mahupun merangka perjalanan hidup hari harian.
Lihat sahaja pada pelbagai isu yang keputusannya dicapai luar parlimen yang terus dijadikan satu kemestian kepada masyarakat untuk menelannya secara bulat bulat, contohnya, penubuhan kilang pemprosesan sisa nadi bumi di Kuantan yang tidak melalui langsung proses demokratik di mana pandangan ahli parlimen seakan tiada bernilai. Bagaimana mungkin isu sebegini menjadi tidak lagi penting, walhal ia melibatkan masyarakat di Malaysia secara keseluruhannya? Jawapannya bagi persoalan ini bagi penulis hanya satu, kebergantungan kepada politik kepartaian yang tiada lagi membawa sentimen rasa lokal.
Mungkin dalam masa yang terdekat, pendidikan politik perlu diteruskan dengan menjadikan lapangan politik kepartaian itu sendiri sebagai pisau bermata dua, yang bisa memberi manfaat serta akhirnya pada hegemoni idealisme politik kepartaian itu sendiri. Penyertaan masyarakat sivil yang bebas perlu dicanang, tiada perlu mengikut kepada dogma status quo perlu digalakkan, untuk mengakhiri segera enigma politik yang dicetus untuk memberi proses pembentukan status quo yang sebenar benar berpusat pada kerangka masyarakat, dan tidak terhad pada parti.
Dalam hal ini, kerugian kepada masyarakat adalah jika gagal untuk sedar bahwa partisipasi politik itu lebih meluas kiranya tanpa lapangan parti politik yang sengaja membuka sedikit sahaja ruang demokrasi dengan menggelapkan sisi sisi lain dengan pelbagai kekangan contohnya dengan penguatkuasaan undang undang yang secara terang terangan bertentangan dengan hak asasi yang dimeterai sejagat contohnya melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dilihat sekadar hanya untuk meneruskan hegemoni parti politik tanpa pemerolehan positif terhadap perkembangan mampan idealisme berteras perspektif lokal serta berautonomi. Contoh yang terbaik ialah pabila isu keselamatan alam sekitar seperti yang berlaku dalam kes "Woon Tan Kan vs Asia Rare Earth Sdn Bhd" hingga menyebabkan sekumpulan aktivis ditangkap di bawah undang undang ISA kerana komited dalam perjuangan berkenaan isu alam sekitar.
Selain itu, secara konsisten lapangan politik kepartaian ini bertentangan sehingga menimbulkan konflik keperluan dengan masyarakat sekaligus menegaskan kepada perlunya percambahan partisipasi model masyarakat untuk dimulakan dengan fokus untuk mengenepikan parti politik dalam mengekalkan status quo acuan mereka sendiri yang seakan tidak lagi relevan kepada masyarakat lokal mahupun sejagat dalam memaknai kewujudan kolektif hidup bermasyarakt dengan melakukan proses fragmentasi berterusan melalui campur tangan parti politk yang melampaui sehingga menyukar untuk membeza akan hak mahupun tuntutan yang sebenar benar atas nama keperluan masyarakat.
Akhir kata, keperluan mendesak ini perlu segera diterjemah dalam bentuk aksi oleh masyarakat sivil bagi mengekang monopoli serta sifat imperialistik dalam mencatur perjalanan idealisme berdasar status quo yang sedia ada, dengan mengembalikan keperluan masyarakt untuk menentukan hala tuju, dan bagi penulis, saranan bagi perkembangan ini hanya boleh berlaku melalui proses serta disiplin ilmu yang berterusan. Iaitu melalui pembacaan.
Bersambung............
*maaf kerana artikel ini bersifat untuk menimbulkan persoalan dan tiada memberi jawapan kerna sifatnya memang begitu dalam pencarian, tiada terhenti, tiada kata mati, yang hanya adalah kesanggupan untuk meneliti!
No comments:
Post a Comment