April 23, 2011

Lynas Dan Autoriti.

Segala maki pada mereka.
Segala tohmah pada mereka.
Segala cerca bagi mereka.
Segala marah bagi mereka.
Segalanya.

Dari pemerintah rakus bertuhan uang lendir,
pada pelobi rakus bertuhan fitnah fakta,
kau patuh mengangguk tulis perjanjian,
kau berjanji peluang limpah pekerjaan,

ini bukan isu setempat,
bukan perjuangan seketika,
bukan perjuangan sehela nafas,
bukan perjuangan katup pikiran.

Sedar rakyat,
bangun rakyat,
pinjam kata Thukul,
hanya satu kata,
LAWAN!

* tiada pernah aku merasa begini marah dalam menulis, kerna semuanya dibuat di belakang kita, rakyat yang berdaulat. Tiada debat, tiada ansur, tiada terlibat. Ini pencabulan demokrasi. Kita melantik ahli parlimen untuk bicara soal rakyat, bukan mencari ruang menipu daulat!

* isu ini untuk Lynas yang akan menjalankan operasi kilang pemprosesan nadir bumi di tanah rakyat kita di Gebeng, Kuantan.

* Membacalah. Iqra.



April 17, 2011

Mengdobrak Status Quo Parti Politik.

Memahami akan politik di mana mana, semuanya bersifat status quo. Kemenangan atau kekalahan mana mana parti di dalam proses pengundian di Sarawak tempohari seakan memperjelaskan lagi kebrobokan politik kepartaian yang pasti tiada memberi apa apa makna selagi dobrak terhadap status quo itu tiada dijalankan.

Status quo, bersifat darah bangsa, percaya anutan, luhur etnik masih lagi tegar mempolarisasi pola idea perkauman, memberi refleksi yang sebenar benar cetek pada perkembangan demokrasi. Mungkin catatan ini berbunyi pesimis. Ya, penulis masih pesimis akan hal ini. Politik di mana mana masih bersifat status quo yang bisa bersifat imperialistik dalam implementasi.

Mengdobrak status quo, berbentuk terjemahan pola mengikut kaum itu seakan tidak akan tercapai selagi garisan pengundian yang berlaku, masih tersekat di bahagian bahagian tertentu kelas masyarakat. Sejujurnya, sfera sosial Malaysia, merangkumi akan politik, sosial serta ekonomi di Malaysia ini masih tegar bergerak di atas pola status quo.

Penulis enggan melihat akan partisipasi pengundian ini hanya terhad melalui kaca mata parti politik, walaupun entiti tersebut merupakan dominan penggerak pada proses demokrasi itu sendiri, sebaliknya hendak melihat pada struktur masyarakat itu sendiri.

Keyakinan penulis bahwa polarisasi berdasar status quo pasti akan bergerak lebih kuat, dengan paluan gendang sentimen status quo akan berkencang lebih padu, sengaja diberi tempat isu isu seperti itu, untuk mengekalkan status parti politik dengan fragmentasi strata masyarakat menjadi tujuan utama pengekalan tunjang kuasa.

Contoh isu, bumiputra Sarawak ini totok Barisan Nasional-nya dan Cina di kawasan bandar pasti kekal dengan Pakatan Rakyat-nya terus menerus dimain oleh kedua belah pihak. (Perkara ini masih boleh didebat serta dibincang mengikut perlakuan idealisme parti politik masing masing yang jika mahu bersifat eksklusif ataupun inklusif.)

Bagi penulis, status quo itu haruslah diberi tanggungjawabnya pada masyarakat itu sendiri, bagi mencorak yang sebenar benar keperluan bersifat inklusif dengan masyarakatnya, dengan campur tangan minimal dari politik kepartaian jika benar mahu terus maju ke hadapan, untuk menghenti polarisasi masyarakat dalam proses pengekalan status quo.

Pengecualian parti politik dalam proses ini, jika diteliti dalam konteks landskap di Malaysia ini pasti sukar, kerana kebergantungan pada politik kepartaian itu begitu menebal sehingga menyukarkan untuk masyarakat sivil untuk melihat status quo yang dicanang oleh parti politik itu hanya sekadar ajenda pengekalan kuasa terhad dalam bentuk demokrasi pilihanraya, walhal ia lebih dari itu.

Persoalan di atas sengaja diberi watak utama bagi memberi kekuatan serta idea kepada masyarakat sivil bahwa demokrasi ini jalurnya banyak, memberi olah pada partisipasi politik sepenuhnya bukan hanya melalui pilihanraya yang berkehendak tadbir melalui mandat lima tahun sekali sahaja. Kemampanan idealisme politik tidak harus dilihat melalui kacamata politik.

Politik itu sendiri yang berdefinisi ilmu kemasyarakatan mengikut Aristotle dalam karyanya "Affairs Of the City", itu perlu melalui proses pematangan yang berterusan, dan sebaiknya ia perlu berlaku di luar konteks kepartian yang bersifat "adversarial" hingga menyukarkan implementasi kolektif yang sebenarnya bersifat alami asasi. Contohnya berkaitan soal isu ketersediaan air bersih yang masih lagi menjadi ajenda mendapatkan undi (yang bermaksud juga pengekalan status quo) walhal ia merupakan sesuatu yang bersifat mendesak bagi melengkap kepada kualiti kehidupan.

Penulis percaya bahawa akar kepada pengekalan status quo ini ialah kepada kebergantungan politik kepartaian. Proses pendelegasian kuasa mentadbir melalui kaedah totok kepartaian perlu segera didobrak, perlu segera digempur dengan idealisme kolektif yang bersifat lokal serta berautonomi dengan masyarakat mereka sendiri, dan dalam masa yang sama memahami akan keperluan sejagat contohnya dalam isu kualiti kehidupan (kesihatan, pelajaran, dan lain lain.)

Autonomi ini perlu dicapai, dengan partisipasi maksimum dari masyarakat setempat dengan sulaman isu isu inklusif serta eksklusif, bersifat lokal mahupun sejagat tanpa entiti kepartaian yang seakan tidak lagi mampan dalam meneruskan proses idealisme yang sebenar benar memberi kuasa terus kepada masyarakat untuk berbuat keputusan mahupun merangka perjalanan hidup hari harian.

Lihat sahaja pada pelbagai isu yang keputusannya dicapai luar parlimen yang terus dijadikan satu kemestian kepada masyarakat untuk menelannya secara bulat bulat, contohnya, penubuhan kilang pemprosesan sisa nadi bumi di Kuantan yang tidak melalui langsung proses demokratik di mana pandangan ahli parlimen seakan tiada bernilai. Bagaimana mungkin isu sebegini menjadi tidak lagi penting, walhal ia melibatkan masyarakat di Malaysia secara keseluruhannya? Jawapannya bagi persoalan ini bagi penulis hanya satu, kebergantungan kepada politik kepartaian yang tiada lagi membawa sentimen rasa lokal.

Mungkin dalam masa yang terdekat, pendidikan politik perlu diteruskan dengan menjadikan lapangan politik kepartaian itu sendiri sebagai pisau bermata dua, yang bisa memberi manfaat serta akhirnya pada hegemoni idealisme politik kepartaian itu sendiri. Penyertaan masyarakat sivil yang bebas perlu dicanang, tiada perlu mengikut kepada dogma status quo perlu digalakkan, untuk mengakhiri segera enigma politik yang dicetus untuk memberi proses pembentukan status quo yang sebenar benar berpusat pada kerangka masyarakat, dan tidak terhad pada parti.

Dalam hal ini, kerugian kepada masyarakat adalah jika gagal untuk sedar bahwa partisipasi politik itu lebih meluas kiranya tanpa lapangan parti politik yang sengaja membuka sedikit sahaja ruang demokrasi dengan menggelapkan sisi sisi lain dengan pelbagai kekangan contohnya dengan penguatkuasaan undang undang yang secara terang terangan bertentangan dengan hak asasi yang dimeterai sejagat contohnya melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dilihat sekadar hanya untuk meneruskan hegemoni parti politik tanpa pemerolehan positif terhadap perkembangan mampan idealisme berteras perspektif lokal serta berautonomi. Contoh yang terbaik ialah pabila isu keselamatan alam sekitar seperti yang berlaku dalam kes "Woon Tan Kan vs Asia Rare Earth Sdn Bhd" hingga menyebabkan sekumpulan aktivis ditangkap di bawah undang undang ISA kerana komited dalam perjuangan berkenaan isu alam sekitar.

Selain itu, secara konsisten lapangan politik kepartaian ini bertentangan sehingga menimbulkan konflik keperluan dengan masyarakat sekaligus menegaskan kepada perlunya percambahan partisipasi model masyarakat untuk dimulakan dengan fokus untuk mengenepikan parti politik dalam mengekalkan status quo acuan mereka sendiri yang seakan tidak lagi relevan kepada masyarakat lokal mahupun sejagat dalam memaknai kewujudan kolektif hidup bermasyarakt dengan melakukan proses fragmentasi berterusan melalui campur tangan parti politk yang melampaui sehingga menyukar untuk membeza akan hak mahupun tuntutan yang sebenar benar atas nama keperluan masyarakat.

Akhir kata, keperluan mendesak ini perlu segera diterjemah dalam bentuk aksi oleh masyarakat sivil bagi mengekang monopoli serta sifat imperialistik dalam mencatur perjalanan idealisme berdasar status quo yang sedia ada, dengan mengembalikan keperluan masyarakt untuk menentukan hala tuju, dan bagi penulis, saranan bagi perkembangan ini hanya boleh berlaku melalui proses serta disiplin ilmu yang berterusan. Iaitu melalui pembacaan.

Bersambung............


*maaf kerana artikel ini bersifat untuk menimbulkan persoalan dan tiada memberi jawapan kerna sifatnya memang begitu dalam pencarian, tiada terhenti, tiada kata mati, yang hanya adalah kesanggupan untuk meneliti!










April 13, 2011

Peranan Seni Pada Masyarakat, Satu Perspektif.


Usai mensisa masa bersama teman teman persekolahan, yang masing masing masih bergelar mahasiswa berkelana ilmu serta idealisme, membicara tentang segala yang mungkin, dari memori dan ingatan, segera membawa ombak tautan fikiran membadai ke pasir halus membentuk pantai gelombang fikrah membawa pada persoalan berikut, tentang persoalan persoalan erti serta peranan seni pada masyarakat. Sungguh, masing kita bercanggah pada cara, tapi pada pengisiannya yang bagaimana harus kita hari ini bisa manipulasi agar seni mungkin dapat memberi erti?

Apa yang dipasti, tutur bicara rakan itu, dasarnya berkata bagai tiada pentingnya seni pada masyarakatnya. Mungkin sahaja ini berlaku kerana sudah lama, dogma seni yang berfoya foya dan bersifat hedonism semata mata diangkat menjadi alir arus perdana, sehingga menyukar pada seni, yang sepatutnya, memberi refleksi pada masyarakat itu seakan terkubur dan jauh dari fungsi sebenar. (atau mungkin sahaja, di dalam kotak pikiran teman penulis itu tiada dapat berkait mesra seni dan sains itu bidang berlainan yang tidak memberi pertimbangan “mutual” kepada keduanya)

Jujur berharap, pandangan di dalam wacana ini dapat memberi keutuhan dalam kesatuan fikiran yang bisa terungkap secara sihat tentang bagaimana mungkin seni itu, bisa memberi refleksi sebenar pada masyarakat hari ini. Bagi diri ini, seni itu tiada bermakna apa apa, selagi tiada pengisian yang sebenar benar membawa makna dan isi dan harapnya, fokus wacana bertulis ini bisa lurus pada objektifnya, merelevankan kembali seni untuk masyarakat.

Untuk itu, bisa saya, selaku penulis untuk memandu arah sekalian pembaca agar memahami penulisan ini agar kembali memberi penekanan pada seni yang berada di sekeliling kita dan sejenak berfikir, seni apa dan bagaimana yang kita hadiri hari hari? Contoh jelas yang boleh saya coretkan di sini, mungkin sebahagian dari kita merasa bahwa nyanyian nyanyian Lady Gaga (sekadar memetik satu nama untuk memberi contoh) di corong radio hari ini merupakan seni, tapi bagi saya, mungkin tidak kerna satu sebab, tiada makna dan isi yang memberi refleksi pada masyarakat itu sehariannya yang kita masih gersang akannya.

Ini adalah kerana pangkalnya hari ini, kita mahu bicara tentang makna dan isi itu sendiri bagi kembali memberi makna seni yang sebenar benar, iaitu menyampai makna dan isi secara terusrat atau tersirat tiada tertakluk pada praktis seninya itu sendiri. Mungkin bagi sesetengah kita ,seakan skeptikal bila berbicara tentang fungsi seni bila menyampai rencah hidup bermasyarakat kerna kita sudah terbiasa dengan imajinasi serta fantasi liar tentang indahnya hidup, contohnya bersyair akan syahdu cinta (penulis tidak merasa ini salah kerna ia perkara subjektif dalam berseni,tapi jika itu sahaja yang dilambak di pasaran, bagaimana?), hingga menjadikan seni itu satu medium “escapism” dari realiti yang bisa memberi kesan pada kehidupan masing masing.

Realiti yang perlu kita perhalusi ini amat perlu untuk membentuk struktur masyarakat yang sebenar bagi memberi makna serta isi yang saling progresif dengan nilai masyarakat itu sendiri. Dan pemahaman tentang realiti akan bisa memberi dinamik baru dalam memahami soal seni itu sendiri meliputi sfera sosial harian kita, politik, sosial serta ekonomi. Penekanan terhadap sfera sosial itu perlu diperjelaskan sebaik mungkin melalui praktik seni, yang umum mengetahui ,contohnya, salur praktis seni masyarakat Melayu itu bisa terungkap tika saling berseloka gurindam dan berbalas pantun, tapi bagaimana makna dan isi yang diangkat?

Penulis memahami jika ada insan yang tidak akan bertemu titik persetujuan, kerna mungkin beranggapan seni itu perlu bebas mengekspresi makna dan isi masing masing serta tidak tertakluk pada mana mana ketetapan statik. Ya, sungguh seni itu perlu berdiri di atas subjektivitinya sendiri, tapi penegasan itu sentiasa perlu ditegakkan dengan makna dan isi dan fokus penulis ialah membawa kembali idealisme ini untuk” terjun” ke dalam masyarakat.

Secara tegas, pengisian tentang erti makna dan isi seni itu wajib disampaikan dalam apa cara sekalipun, dan yang sebaiknya ialah jika kita dapat menerus tradisi, dalam apa apa praktis seni pun yang halnya ialah mencabar status quo sfera sosial kita hari ini, sama ada tersurat mahupun tersirat. Contohnya begini, bagi penulis, akar pada seni itu hasilnya lahir dari sifat ingin menzahir hasil pengalaman masing masing yang bermakna setiap pengamatan penggerak seni itu harus memberi refleksi serta menjadi kaca pada masyarakatnya.

Dalam menjadi kaca refleksi ini, penggerak seni yang tegar harus upaya untuk meneroka sisi sisi masyarakat dalam usaha untuk mengangkat “isi isi” masyarakat yang dalam konteks hari ini, di mana kebuluran, penindasan serta kemiskinan itu masih menjadi wabak, bukan sahaja pada unsur zahir materialisme, malah pada batin intelektualisme turut terjebak bahaya, hanya oleh kerana tiada upaya pada seni itu sendiri yang menggalak akan percambahan fikrah pada yang sepatutnya.

Mungkin kita boleh untuk menyalahkan pada acuan permintaan dan pengeluaran masyarakat yang rata rata mahukan nilai nilai “escapism” yang indah indah belaka menjadi latar seni hari ini, tetapi adakah kita hari ini cukup kritis dalam menyulam makna dan isi atau sekadar bergantung pada permintaan dan pengeluaran masyarakat untuk berkarya, walhal di situlah kesalahan paling agung boleh berlaku dalam memberi peranan refleksi seni yang sepatutnya pada masyrakat keseluruhannya.

Kata kunci pada kebolehan untuk mengekalkan kemampanan seni untuk kembali memberi erti pada masyarakat ialah hanya melalui penerokaan terhadapa relevan pada makna dan isi dalam seni dengan kemampuan untuk bergerak seiring dengan masyarakat yang berevolusi dalam struktur masyarakatnya sendiri, kerna penulis yakin, bahwa proses “tabula rasa” di ilham oleh ahli falsafah John Locke, yang diangkat menjadi fokus pada makna serta isi pasti dapat diteruskan jika pengalaman dan persepsi saling taat bersulam dengan prinsip yang dipegang oleh penggerak seni itu sendiri.

Bicara soal prinsip, penggerak pengerak seni perlu harus bijak dalam mendalami semula setiap bibit kata yang terungkap, setiap warna yang dicalit, setiap aksi dalam pementasan itu, adakah ia betul betul membawa pengisian yang sebenar benar atau sekadar untuk memenuhi permintaan arus perdana, sehingga menyukarkan peranan seni itu untuk disampaikan sebagai bentuk termudah pada masyarakat untuk menghadam erti kehidupan bermasyarakt yang seharusnya diangkat setiap penggerak seni.

Penulis merasakan bahwa seni itu penting adalah kerana ia begitu hampir pada masyarakat itu sendiri kerna ia adalah fitrah hakiki yang jelas bahwa mesej itu, yang tersirat mahupun yang tersurat, bisa disampaikan untuk tujuan mengolah persetujuan, contohnya, filem hari ini, kita disaji dengan adegan adegan perang yang kononnya perlu dalam mengekalkan hegemoni satu satu negara, walhal sisi sisi masyarakat yang terdedah pada kebrobokan peperangan itu seakan didiamkan.

Secara tidak langsung, peperangan serta keganasan itu digambarkan sebagai satu cara yang sah untuk mengekalkan kekuasaan. Ini adalah antara pelbagai lagi bagaimana medium seni itu bisa memberi peranan dalam mengolah persetujuan dalam konteks sfera sosial yang sudahpun penulis memberikan pandangan dan wajib bagi pencinta pencinta seni ini untuk sedar akan tanggungjawab masing masing dalam usaha mengembalikan fungsi seni itu pada tempatnya, iaitu menjadi medium untuk masyarakat membawa pengisian makna sfera sosial yang sebenar benar.

Oleh kerana itu, kemampuan kita, masyarakat untuk memahami keperluan mendesak kita dalam membawa kembali makna dan isi, yang tersirat mahupun tersirat, ke dalam keseluruhan praktis seni menginsafkan penulis untuk sama sekali menyangkal pendapat yang mengatakan bahwa seni itu medium yang tempang walhal lipatan sejarah yang besar sudah membentang akan pentingnya seni dalam membawa peranan suka duka, jerih perih kelangsungan hidup tamadun masyarakat dunia hari ini. Lihat sahaja bagaimana melalui ilmu persuratan yang aktif dalam usaha untuk mengusir penjajah British keluar dari negara kita dahulu berjaya dilakukan melalui mata pena kritis yang mengangkat tajuk tajuk anti imperialisme dalam membangkit rasa tanggungjawab serta kesedaran sekaligus menutup segala tohmah bahwa seni itu tiada berkesan dalam membawa ideologi perubahan.

Akhir kata, penulis berasa amat yakin pada seni dalam mengangkat ajenda rakyat yang sebenar benar dalam merencana apa apa pergerakan sfera sosial, dan berharap agar masing masing yang cinta akan seni itu, kembalilah pada fitrah bahwa seni itu perlu untuk menyampai refleksi masyarakat seharian dan ia perlu saling berkait dalam membawa fikrah relevan yang didamba oleh keseluruhan strata masyarakat. Sila perdengar pantun di bawah agar bersama kita dapat menjalin rasa bersama;

Alur muara kelola sampan,

Mudik ke hilir menyampai pesan,

Fikrah berprinsip jangan disimpan,

Agar dapat memberi pedoman.

April 6, 2011

Pesan Untuk Tok Mufti. Dari Jiwa Marhaen.

Selanjaran titah menjadi ikutan,
tiada terlingkup, tiada terlentang,
berpesan pesan membawa coretan,
akur marhaen tiada menentang,

Usai menelusuri bait bait kata petinggi petinggi agama hari ini, umumnya di Malaysia yang mudah bicara populisnya, kesannya, langka bagi kita semua untuk berbicara secara kritis tentang apa yang berlaku.

Isu bersifat kontemporari seakan menunggu mati tanpa tiada panduan bijak pandai, (bukan bersifat defensif autoritarian) yang bisa mengait rasional dengan fakta bersulam ayat ayat Tuhan. Lihatlah bagaimana pikiran massa hanya dicorak dan perlu mengangguk tanpa perlu melalui proses penaakulan serta tabula rasa secukupnya.

Yang zahirnya bisa membawa erti yang besar dalam mencanting semula pemikiran kita semua, untuk melihat kembali susuk susuk dalam mengangkat agama itu, bersifat independen dalam melakukan penelitian serta kritik sosial yang membina.

Jalur jalur ilmu itu perlu ditekan, kerana sesuatu yang bersifat defensif serta autoritarian itu bisa membuka langkah bagi penentangan. Dan yang pasti, penentangan penentangan itu haruslah terbit dari fikrah semata, bukan kerna mahu melindung pundak harta semata.

Kerna kamu, wahai tok mufti, bukan bicara kosong, melain menjalin pikir, kau lihat Hamka, kau lihat Shariati ( sekadar menyebut beberapa nama), kau lihat bagaiman mereka itu sudi terjun ke dalam masyarakat, kedua duanya tujuannya jelas, liberasasi serta emansipasi dari pegangan penjajah mahupun pemerintah.

Sudut demokrasi ini terbentang luas, untuk kau bicara tentang erti masyarakat, pengisian masyarakat, bukan sekadar mahu melindung kerna ilmu agama itu sendiri bersifat luas, yang perlu disampai pada semua, dan harapnya, fikrah mu tidak hanya terkekang pada perkara kecil sahaja, walhal tercicir peranan mu dalam perkara besar, yang menyentuh keseluruhan kemaslahatan manusia.

Mungkin sekadar berkongsi isu, kerna aku hanya jiwa kecil, yang marhaen, yang mahu suara ini sampai bagi mereka yang berkuasa sementara, terokalah cabang ilmu seluas luasnya, bukan sekadar menyorok di balik hijab kolot entiti bernama pemerintah. Polisinya yang pelbagai, berapa kerat yang dibincang pokok pangkalnya berasas ilmu mu, berapa kerat suara mu diambil kira diangkat. Memikir bersama kita akan isu isu ini :

1) Tentang isu reaktor nuklear, keperluan atau sekadar kebanggaan.

2) Kekerasan yang diguna pihak berkuasa terhadap marhaen, yang matinya dalam tahanan.

3) Korupsi yang berpanjangan, tiada pengakhiran. Kedudukan corot dari semasa ke semasa.

4) Penggunaan Akta Dalam Negeri yang meluas, khususnya pada waktu tertentu untuk
melawan pergolakan pikiran yang muncul.

5) Akta Rahsia Rasmi yang seakan menjadi hijab tiada terbuka untuk pengadilan.

6) Pembaziran yang berlaku, ketirisan yang berlaku, melibatkan dana dari rakyat.

7) Partisipasi massa yang dikekang pada setiap sudut. Penghayatan terhadap martabat asasi manusia yang asas.

8) Adu domba berbaur fitnah yang menjadi santapan harian masyarakat.

Kalau bisa dikira oleh kita semua, pesan ini hanya apa yang melewati pemikiran, jika mungkin perlu diperhalusi untuk benar benar memahami perlu, kerna itu, pesan ini bagi mereka yang berilmu serta cintanya pada ilmu agama itu yang perlu disampai pada keseluruhan jiwa, dengan nada sealir dengan masyarakat kita hari ini, yang sangat perlu akan pencerahan dalam ilmu agama yang semakin kontang dengan fikrah kontemporari.

Yakinlah, bahwa kau, wahai tok mufti, hidup dan mati ilmu, gersang dan subur ilmu, cahyanya hanya satu, bersama dengan marhaen, mengangkat kembali perlu ilmu seimbang.

Sekian, mungkin pesan ini hanya terbatas, pentingnya, jiwa kerdil ini bisa berbisik bersama rakan, mengajak taulan, dan mungkin, tika kalian wahai tok mufti, sibuk mengangguk mungkar arahnya autoriti, ingatlah pesan ku ini,

menjulur tebuan, mengisi amarah,
tiada bersempat lari ke muara,
marhaen menuntut jujur berfikrah,
terikat munafik hanyut selama!

April 5, 2011

Utusan.

kau berkalam berkait pantul rakyat,
awal mu datang menatang pedoman,

aku menggagumi Said Zahari dan aku rindu akan itu,
aku mungkin tidak hidup pada zaman awalmu itu,
tika kau masih berbicara pada pihak rakyat,
kisah kisah rakyat diangkat di depan koran,
hinggalah kini.

kau seakan membiar yang fitnah jadi nyata,
yang percik api amarah bisa membakar diri.

* kita sudah lama hilang erti hidup,
yang bisa memaknai hidup sendiri.

yang dikejar tiada berdapat,
yang dikendong berciciran.