September 8, 2011

Forum Mat Indera, Pengkhianat atau Pejuang. Satu Perspektif.

Suasana pada malam 7/9 tahun 2011 begitu bersemangat, seakan ada satu kepatuhan pada khalayak yang hadir, bahwa sejarah negara kita harus dikembalikan untuk dibicara para intektual, dan bukan berdiri di atas nilai partisan dan ianya wajib bersifat apolitikal.



Subjektiviti dan penterjemahan sejarah harus dibiar melepas bebas, biar rakyat yang bisa catur dan arca seadilnya dengan fakta yang diberi tegas oleh para intelektual negara, itu bagi saya, harapan para peserta forum pada malam itu juga dan beberapa kali perkara ini dinyatakan ahli forum yang mengemudi majlis.



Gusar pihak penganjur, dan saya juga berkongsi perkara yang sama ialah bahwa panelis pada malam itu, terdiri daripada Mat Sabu, Prof Aziz Bari dan Isham Rais, tidak dilihat neutral. Sejujurnya, saya juga merasa begitu tetapi kita perlu jelas di sini, media arus perdana di Malaysia ini iktikadnya harus memihak pada penguasa yang ada sekarang, hingga menghapuskan etika kewartawanan itu terus (perkara ini turut berlaku pada kemerosotan keseluruhan nilai kewartawanan di Malaysia, bila di pihak pembangkang juga turut menari menurut rentak yang sama).




Tetapi di sini jelas, forum yang diadakan ini asalnya mahu menemukan dan melibatkan kedua dua belah pihak (entiti kerajaan dan pembangkang, walaupun bagi pihak penulis, rasanya sejarah perlu diberi peluang tafsir yang lebih luas,lari dari pautan kepompong partisan seperti ini) dan dimaklumkan bahawa pihak @Free Public Forum untuk memanggil ahli sejarahwan gagal kerana keterikatan entiti intelektual di Malaysia ini begitu ketat hingga peserta forum dimaklumkan bahwa Profesor Abdul Aziz Bari itu sendiri tidak bercakap di atas kapasiti ahli akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, sebaliknya di atas tuntutan sebagai seorang felo kehormat @IDEAS, sebuah NGO.



Pandangan penulis, polarisasi masyarakat kita di atas sesuatu isu, contohnya isu Mat Indera ini berlaku benar benar di luar satu bentuk demokrasi yang sihat di mana kita tidak mampu untuk menyatakan prinsip dan fakta sejarah dengan sewajarnya, sebaliknya manipulasi dan monopoli fakta pensejarahan benar benar diberi fatwa oleh "sejarawan" fasis, yang menolak terus diversiti bentuk perjuangan rakyat di Malaysia ini degan hegemoni terhadap sebarang bentuk metod perjuangan yang lain dari yang sudah ditetapkan,segera dinyatakan sebagai simpatisan komunis, umpamanya.



Salah satu fakta yang menarik dilontar oleh ahli panel, saudara Isham Rais ialah bahwa kita ini begitu takut untuk mengiktiraf gerakan bersenjata yang pernah berlaku, sebaliknya hanya "mengkotakkan" perjuangan kemerdekaan ini terhad hanya kepada metod rundingan semata mata. Perkara ini turut terjadi di India di mana gerakan sejarah berdarah mereka turut tidak diiktiraf seadilnya, walaupun penulis begitu mengangkat kejituan Mahatma Gandhi dalam gerakan Satyagraha yang begitu aman pendekatannya, pejuang seperti Subhas Chandras Bose perlu diberi pengikitirafan yang wajar dan perlu diberi ruang lingkup dalam pensejarahan perjuangan kemerdekaan.



Seiring dengan Subhas Chandras Bose, yang turut mempengaruhi dan mewarnai gerakan di tanah air kita (boleh semak di buku catatan Ahmad Boestamam), kita perlu jelas di sini, pengtarikhan peristiwa yang berlaku akan membawa kepada falsafah sejarah itu sendiri yang dinyatakan saudara Isham Rais iaitu, di dalam sejarah, setiap peristiwa akan membawa kepada peristiwa yang lain.



Kita perlu jelas bahawa apa yang berlaku kepada Mat Indera ini bukan satu peristiwa terpencil,sebaliknya satu manisfestasi terhadap pemerasan imperialis British yang menekan parti parti yang dibentuk lebih awal, terdiri daripada Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan BATAS sehingga kelahiran parti United Malay Oraganisations (UMNO). Semua peristiwa ini tidak berlaku terpencil, sebaliknya berturutan dan beriringan mengisi lohong lohong sejarah kita dengan fakta.



Kita perlu sedar fakta ini, bahwa gerakan anti kolonial/imperialis ini berlaku sejak turun temurun, dari zaman Kesultanan Melayu Melaka dengan tembungnya mereka dengan Portugis, hinggalah pada zaman moden kita kini,dengan tembung segala macam mehnah bersama dengan sistem ekonomi yang menindas kini. Di zaman awal perjuangan menuntut kemerdekaan, kita perlu sedar, cuaca politik ketika itu begitu panas, dengan seruan Jihad Kedua oleh gerakan Ikhwanul Muslimin diketuai oleh Hassan Al Banna,laungan Internasionalisme oleh Kesatuan Soviet ketika itu yang mahu menubuhkan satu federasi dan selain dari itu, keterlibatan Sir Henry Gurney di dalam penyembelihan umat Islam di Palestin sebelum dinaikkan pangkat menjadi Pesuruhanjaya Tinggi Malaya di mana ironinya sungguh menggiurkan, bilamana Sir Henry Gurney dikojolkan oleh komunis dalam satu pertempuran bersenjata (jadi di sini,ada mungkin kita mahu berterima kasih kepada komunis kerana upaya membunuh penyembelih umat Islam di Palestin, atau apa?).



Terang lagi bersuluh, atas dasar universalisme untuk menentang imperialisme, satu 'lubang' yang begitu spekulatif diunjurkan tetapi tidak dibincang dengan teliti, iaitu dalam isu Mat Indera ini,perihal adakah beliau memperguna atau diperguna oleh mana mana anasir luar, contohnya komunis, sebagai asas dalam perjuangan ataupun beliau benar benar berjuang di atas dasar universalisme yang mahu menjatuhkan imperialisme? Tepuk dada, tanyalah selera.



Jelas, perkara ini berlanjutan, dan konsep kemerdekaan yang diutarakan Mat Sabu begitu tepat rasanya bagi menggambarkan situasi perjuangan yang berlaku dengan mengambil roh juang Rasullah, yang menunjukkan bahwa, tika berlaku peristiwa Hijrah dari Kota Makkah ke Kota Madinah, bagaimana Rasullah melakukan emansipasi terhadap masyarakatnya sendiri dengan 'menyerang' dari luar ke dalam (bukanlah untuk menyamakan perbuatan Rasullah yang mulia, tetapi sekadar mahu mengambil konsep yang kemerdekaan dan emansipasi itu berlaku walau dalam linkungan kita sendiri), dan secara tuntas, mengambil kepada konsep di mana Islam itu sendiri datang untuk menghapuskan terus perhambaan, iaitu imperialisme itu sendiri.



Dengan mengambil peristiwa Mat Indera, kita perlu jelas, gerakan perjuangan Tanah Melayu untuk kemerdekaan bermula awal, dengan laungnya slogan "Merdeka" dari PKMM, dan Mat Indera itu sendiri menyertai dan berakitivisme di dalam API tika umurnya masih muda (seperti yang dinyatakan oleh adik Mat Indera, Baharom Indera yang turut hadir semalam) dan peristiwa Bukit Kepong ini adalah hanya satu daripada beribu ribu pertempuran yang berlaku sebelum kita merdeka, dan ianya berlaku, benar benar di dalam keadaan yang sangat vague dan masih terbuka untuk dibincangkan kerana beberapa faktor seperti :-



a) kedapatan sumber primer (warga yang dulunya berjuang, ramai yang masih hidup segar bugar, contohnya, Tuan Haji Ishak Surin yang zaman mudanya menyertai gerila, yang turut menyertai forum dan berucap dengan penuh semangat kelmarin! Beliau turut menyatakan bahwa bagaimana British menganjurkan Malayan Union dengan dua agenda iaitu bagi menjalankan terus proses kolonialisme yang berkekalan dan bagi mewujudkan pertelingkahan antara penduduk Tanah Melayu ketika itu,sekaligus mengalih perhatian dari gulat proses imperialisme dan menyerahkan legitimasi kepada British dalam soal pentadbiran, seperti yang diwartakan oleh Profesor Khoo Khay Kim bahwa British sekadar menjalankan kuasa eksekutif tanpa Tanah Melayu dijajah.



b) kekurangan kertas kerja intelektual dan kajian yang berasaskan fakta yang apolitikal, yang menggalakkan pertukaran maklumat yang sihat kepada masyarakat, sebaliknya perisitiwa pensejarahan ini diberikan satu penghakiman awam yang melampau sifatnya, hingga menutupi ruang intelektual. Beberapa isu masih tergantung hingga kini, soalnya pengiktirafan Kerajaan Malaysia dalam perjanjian damai dengan pihak komunis circa 1989 sekaligus mengiktiraf sumbangan PKM dan soal pihak berkuasa sebelum merdeka (baca: mata mata British) yang berjuang untuk apa dan demi siapa yang masih kekal relevan untuk diketengahkan.



c) Dogmatisme dan taboo yang gagal ditembusi oleh masyarakat sivil dalam memahami sejarah mereka sendiri serta budaya taklid dan tidak analitikal dalam mendepani kepelbagaian dan diversiti perjuangan menuntut kemerdekaan negara. Ini bertepatan dengan apa yang berlaku kini di mana masyarakat yang dikongkong budaya inkurinya itu, tidak mampu bicara dengan matang dalam soal ideologi dan anutan yang memacu tindakan dan akibat sesuatu peristiwa, khususnya yang merangkumi persoalan menyelubungi isu Mat Indera ini.



Penulis tidak mahu mencatat panjang akan peristiwa peristiwa besar yang berlaku , sebaliknya mengangkat kepada fokus utama perbincangan iaitu soal diversiti perjuangan kemerdekaan yang dilupakan, di mana kita seakan akan berada dalam keadaan selesa. Mungkin ada yang beranggapan bahwa isu ini sifatnya bermusim, TIDAK, sifat bagi isu ini ialah ia akan kekal relevan selagi kita mahu mencari siapa diri kita yang sebenarnya, dan segera meletakkan nilai sejarah pada tempatnya.



Penulis berasakan demikian kerana, kita di Malaysia ini tidak pernah mahu bersifat analitikal, sebaliknya taklid menjadi satu pertaruhan dalam membuat pertimbangan semasa, lihat sahaja kenyataan yang dibuat di media arus perdana, jelas, kita enggan memperhalusi konflik dan mencapai konsensus dalam menangani sesuatu permasalahan, di sini, peranan intelektual amat didambakan. Hari ini, sebaliknya yang berlaku, intelektual bercakap dalam nada orang politik yang bersifat retorikal.



Menariknya di Malaysia, intelektualnya seakan suka bersikap sorong tarik, lihat sahaja bagaimana buku karya seorang profesor sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam yang diiktiraf oleh kerajaan negeri Johor sekarang di bawah pimpinan Datuk Abdul Ghani Othman seakan tiada nilai intelektual yang tidak perlu dipertahankan sebaliknya menjadi barang dagangan kuasawan.



Legitimasi kerja sarjana perlu diketengahkan dan sentiasa diberi tempat untuk kita, masyarakat untuk mentafsir dari semasa ke semasa, bukan bersifat rigid. Yang perlu bersifat rigid ialah tarikh dan kesekian fakta tetapi bukan sebab dan akibatnya yang bersifat subjektif, lagi lagi bagi sebuah negara yang masih muda, sebenarnya ini.



* Bacaan tambahan yang dinyatakan di dalam forum:-


i) Pemburu Bintang Tiga, Syed Othman Syed Ali

ii)Pengukir Nama Johor, Profesor Datuk Dr Ramlah Adamiii)Buku-buku karya Ahmad Boestamam, Shamsiah Fakeh, Abdullah C.D dan Dr Burhanuddin Al Helmy.



* Penampilan istimewa (yang berucap di atas pentas) :-

i)Saudara Suhaizan Kaiat, Ketua Pemuda Pas Johor dan AJK PAS Pusat.

ii) Encik Baharom Indera, adik kandung kepada Mat Indera.

iii)Tuan Haji Ishak Surin, pejuang kemerdekaan negara yang juang semangatnya kekal membara.



Sekalung penghargaan dan tahniah buat kalian dari @Free Public Forum kerna sudi menganjurkan forum membuka minda seperti ini. Selamat wijaya dan suka hendaknya menamatkan penulisan ini dengan kata pujanga syaer seorang tokoh besar musik, Bob Marley dengan ucapan dalam lagunya "Redemption Song" yang mengajak kita membebaskan diri dari penghambaan minda secara total, kerna tiada yang lain dapat melakukannya kecuali oelh diri kita sendiri.

No comments:

Post a Comment