Kita perlu sedar bahwa, budaya politik di Malaysia ini berbaur baur sifatnya, dari kebangkitan nasionalisme pra merdeka hingga keutuhan ideologi sosialis yang dinaungi oleh Fron Sosialis tahun 1959, dan evolusi pembudayaan politiknya tidak pernah terhenti, dari satu sistem tradisional monarki hingga pada kewujudan sistem demokrasi berparlimen ala Westminster yang diacu bentuk dari British.
Jelas, senario politik kita ini tidak langka dari sebarang bentuk perubahan dan harapan perubahan dengan selagi adanya fikrah fikrah yang mencambah, dari tembung feudal dan progresif,contoh terbaik ialah golak Kaum Muda dan Kaum Tua yang masih lagi berterusan sehingga kini. Ini seakan memberi satu takdir, perubahan dalam memahami kompleksiti budaya politik kita masih berlaku kencang, dalam sedar atau tidak sedar.
Justeru, penumpuan khas perlu diberikan kepada entiti rakyat dalam menilai kesan kesan perubahan pembudayaan politik untuk memahami kemampuan rakyat dalam menghadapi dan memahami kompleksiti budaya politik kita.
Budaya menurut Andreas Eppink boleh menjadi satu takrifan satu ketetapan bahwa bagaimana masyarakat kita menyemai keseluruhan pengertian, nilai, norma, ilmu pengetahuan serta struktur struktur kemasyarakatannya sendiri,manakala politik pula boleh diertikan menurut ahli falsafah Aristotle sebagai usaha yang diranjau ahli masyarakat dalam mencapai kebaikan bersama.
Jadinya, pembudayaan politik ini boleh dierti sebagai usaha usaha masyarakat untuk memberikan reaksi serta kemampuan untuk entiti entiti di dalam sistem politik untuk berinteraksi antara elemen elemen yang wujud di dalam masyarakat kita ini.
Sebagai fokus utama, budaya politik kita ini dibina di atas unsur unsur asas, di mana notion notion seperti kaum dan agama diberi tempat untuk beraksi di pentas utama politik, dengan penubuhan parti parti yang bersifat sedemikian biasanya diberi perhatian kerna jelas, di dalam budaya rakyat Malaysia yang bersifat feudalistik, sifat sifat seperti pengekalan status quo, hegemoni dan autoritarian seakan diberi satu kekuatan untuk meneruskan kemandirian.
Di sini jelas, kegagalan untuk memahami budaya politik masyarakat kita segera merungkai satu lagi permasalahan, di mana simplisiti terhadap pembudayaan kita melalui proses generalisasi liar, di mana asosiasi politik, berkait rapat sekitar dengan kemunculan dan penubuhan parti parti politik, dan yang tragis, diversiti gerakan rakyat segera dicantas jika ada hadirnya unsur unsur lain yang tidak bersifat parti politik. Ini boleh kita lihat dalam insiden yang terbaru, perihal gerakan massa Bersih yang turun ke jalanraya bagi menuntut piliharaya adil dan bersih yang segera ditohmah untuk menjadi tunggangan parti politik.
Ini menyukarkan lagi, pemaknaan politik untuk melangkaui budaya dogmatik yang sudah lama terpahat, justeru, pensejarahan tentang apa itu pengertian politik dan pembudayaan politik harus dilakukan segera oleh kita, ya kita, yang mendukung satu kepercayaan, bahwa politik ini merupakan interaksi masing masing dalam mengurus konflik dan mencapai konsensus, dan bukan milik eksklusif mainan parti politik semata mata, dan perlu menjadi titik tujuan ialah kembali meletakkan pembudayaan politik ini pada tempatnya, iaitu dalam memahami
Kompleksiti pembudayaan politik di Malaysia ini berlaku adalah kerana seakan ada satu penegasan yang bersifat autoritarian, di mana jalur jalur politik yang harus dipatuh adalah hasil dari simplisiti dalam memahami fungsi masyarakat itu sendiri, yang tidak lagi mengangkat partisipasi melebar, mencakupi ruang ruang awam hasil dari undang undang represif dan proses "pembebalan", yang menutup dimensi baru dalam pemaknaan budaya politik kita.
Kita perlu melihat kesinambungan dari perkara ini,akarnya hasil dari keterikatan budaya politik yang mengangkat kepatuhan kepada notion notion seperti bangsa dan agama, (yang malangnya bersifat feudalistik), sekaligus membentuk budaya yang terlahir yang berada di luar ciptaan dan tertakluk kepada perubahan dalam memahami kompleksiti pembudayaan politik masyarakat sendiri.
Di sini, dengan jelas sekali, "zon selesa" yang bersifat imaginatif ( di mana omong omong bahwa ekonomi kita yang terbaik, hubungan antara kaum lancar, dan tiada diskriminasi agama melampau dijadikan tajuk tajuk besar di akhbar dan media )di mana krisis nilai masyarakat mengalami kontradiksi dengan prinsip kemasyarakatan melalui hilangnya entiti masyarakat itu sendiri di dalam proses pembudayaan politik kita sendiri.
Contoh lain krisis nilai ini juga turut melibatkan isu Lynas yang melibatkan pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi terbesar dunia, di mana lanjutan logik dalam argumen turut terhambat dengan krisis nilai, di mana, kita sebagai sebuah masyarakat yang berfungsi ( dianggap berfungsi) perlu memahami selok belok sebenar fungsi masyarakat dalam menjuarakan fikrah dan prinsip bertepatan dengan nilai masyarakat dan budaya yang bakal teracu kelak.
Ini adalah antara jelas, kegagalan signifikan dalam menguruskan kompleksiti budaya politik kita di mana tarung dan tembung idea tidak berlangsung sebaiknya di atas jalur jalur demokrasi yang sepatutnya, khususnya dalam membuka ruang awam dalam mencarik persoalan persoalan kompleksiti budaya politik kita.
Jadi, perlu segera kita bermuhasabah dengan ikhlas dalam usaha untuk memahami kompleksiti budaya politik kita dengan satu perspektif meluas, dengan anjakan terhadap normaliti lampau yang mengaitkan budaya politik ini dengan hanya terhenti kepada satu kepatuhan dengan menguatkan kendiri masyarakat agar kecelikan budaya politik ini dapat diperbaharui dengan satu keazaman, bahwa kompleksiti budaya politik kita ini perlu diraikan bagi mencari semula kefungsian sebuah masyarakat.