Ahli Panel : Dr Rohana Ariffin, Presiden Parti Rakyat Malaysia.
Dr Jeyakumar Devaraj, Ahli Parlimen Sungai Siput
Lokasi : Rumah Saya Anak Bangsa Malaysia, Bukit Damansara
Masa : 22 Oktober 2011
Jelas, keperluan untuk ilmu itu akan sentiasa ada dan tidak akan pernah usai, lagi lagi, bila kita ini dilahirkan di Malaysia, di mana tembung ilmu dan lancap fikrah itu tidak berlaku dengan sepatutnya.
Kongkongan kongkongan ini berlangsung, dari dalam segala bentuk struktur pemerintahan, kehakiman, ditambah lagi dengan media yang bersifat satu arah dan pelbagai, menyukarkan lagi untuk kita menengahkan idea sosialisme abad ke 21 sebagai satu alternatif jalur ekonomi kepada kapitalisme yang dianuti oleh kebanyakan negara, termasuk Malaysia. (walau penulis yakin, sistem ekonomi Islam itu juga merupakan satu alternatif yang bisa diberi perhatian, jika adanya ketumbukan yang serius pada peringkat sarjana untuk menengahkan idea sistem ekonomi Islam ini)
Panel pertama, Dr Jeyakumar, dengan segera mengutarakan kebrobokan Kapitalisme,
berdasarkan tiga perkara;
1) Isu Ekonomi
dengan menunjukkan jurang miskin kaya yang semakin meluas, contohnya di Amerika Syarikat, 400 individu terkaya memegang hampir keseluruhan ekonomi berbanding rakyat berpendapatan rendah hingga segera, melahirkan gerakan rakyat "Occupy Wall Street" yang menegaskan kepada ketidakseimbangan serta jurang yang terhasil dari empayar syarikat korporat, sehingga tidak langsung, mempengaruhi polisi dalam dan luar Amerika Syarikat itu sendiri.
Isu penggangguran turut menjadi fokus utama pada malam itu, di mana persaingan dengan kedapatan buruh asing, hingga turut menjejaskan peluang anak watan, untuk bekerja dan menikmati sistem sekuriti sosial yang membela nasib pekerja turut ditindas, hasil dari proses "outsourcing" yang berlaku serta implikasi dari proses diskriminasi dan eksploitasi buruh, lagi lagi di negara dunia ketiga.
Ini turut berlaku di Malaysia, di mana berdasarkan laporan PBB, jurang ekonomi ini merupakan yang terluas di Asia Pasifik (sila google), dan segera, perkara ini berkait rapat dengan bagaimana keengganan kerajaan hari ini untuk melaksanakan Akta Gaji Minima dan sekuriti sosial dalam menjaga kebajikan pekerja.
Dr Jeyakumar turut memperjelaskan tentang prinsip kepada analisis ekonomi Marxist di mana ianya berkisar tentang soal "under consumption" dan "over accumulation" yang menjadi asas kepada argumen, bahwa apa yang dialami kini, adalah akibat dari aktiviti spekulasi mata wang, sehingga tidak langsung, menyumbang kepada kenaikan harga komoditi harian.
Isu bumiputera turut disentuh oleh Dr Jeyakumar dengan menegaskan bahwa PRSM sentiasa akan memfokuskan kepada agenda "bumiputra" berdasarkan kepada notion " majoriti kaum tertindas" dan bukan atas dasar perkauman dan bangsa semata mata.
( Pembaca perlu sedar bahawa Dasar Ekonomi Baru itu dirangka dari saduran ideologi Sosialisme yang diceduk dari " The Five Years Plan For The National Economy of the Soviet Union)
2) Isu Alam Sekitar
Dr Jeyakumar turut menyentuh akan soal alam sekitar, dengan memfokuskan kepada keperluan untuk mencari sumber tenaga dan menegaskan tentang situasi "oil peak" yang sudahpun berlalu, di mana pengeluaran minyak sudahpun melepasi kadar pengeluaran yang maksimum, sekaligus kemungkinan untuk berlakunya krisis tenaga adalah besar.
Secara langsung, krisis tenaga ini turut memungkinkan kepada berlakunya pergelutan kuasa antara kuasa dunia, untuk menakluki sumber tenaga yang ada dan perang, merupakan jawabnya kepada permulaaan krisis tenaga ini.
Kenaikan paras air laut, ketiadaan tanah pertanian yang ditukar kepada perindustrian, perancangan alam sekitar yang tidak ampuh. Ini turut dikaitkan dengan aktiviti berteraskan Kapitalisme di mana keuntungan total merupakan sasaran, sehingga mengenepikan kesan jangka panjang.
Model pengurusan dan perancangan alam sekitar, hendaklah dilihat dari segi konteks pentadbiran yang dilaksanakan oleh negara Scandinavian, di mana pertimbangan dibuat dengan mengambil kira akan flora dan fauna, dan berasaskan keperluan, bukan kemahuan.
( Sebenarnya penulis tertarik untuk bertanya akan hala tuju Sosialisme dalam konteks isu alam sekitar ini,( lagi lagi apabila Brazil negara yang ditadbir oleh parti berasas pekerja yang berteraskan Sosialisme, turut membenarkan pembinaan empangan di Sungai Amazon, sekaligus memusnahkan flor dan fauna), khususnya bila kita di Malaysia ini, berhadapan dengan krisis tenaga kelak, dan apa pandangan Sosialisme terhadap penggunaan nukleur sebagai sumber tenaga.
3) Pendemokrasian Masyarakat
Kritikan kepada Sosialisme, berdasarkan kegagalan Revolusi Rusia yang dipacu Bolshevik serta mehnah Sainstifik Sosialisme dokongan Pol Pot di Kemboja, turut menjadi api dalam sekam kepada pemahaman terhadap Sosialisme untuk dibezakan dengan Komunisme.
Jelas, kegagalan untuk mentafsir maksud sosialis merupakan "stumbling block" dalam meneruskan agenda Sosialisme. Dogma bahwa sosialis ini merupakan" idealisme tidak bertuhan" turut menjadi pojokan media dan segera menggagalkan interaksi idea.
(Suka penulis untuk menyarakan kalian untuk membaca karya Ali Shariati bagi pencerahan selanjutnya berkaitan idea Sosialisme).
Dr Jeyakumar turut berpendapat bahawa, pendemokrasian masyarakat turut perlu berlaku luar konteks pilihanraya semata mata, sebaliknya pendidikan politik haru dijadikan teras kepada masyarakat.
Di sini, Dr Jeyakumar turut menyatakan bahwa, sistem ekonomi Kapitalisme, mengfokuskan kepada segregasi masyarakat, dengan fokus kepada isu isu berkaitan bangsa dan kaum sebagai satu bayangan untuk memastikan tiada setiakawan atau solidariti yang bisa tercapai hasil dari perhubungan antara manusia.
*Penulisan ini akan disambung dengan memfokuskan kepada panelis kedua, Dr Rohana Ariffin serta cadangan polisi ekonomi Sosialisme untuk Malaysia. Sekian.
No comments:
Post a Comment